Disebalik telatah lucunya, tersingkap cerita pengalaman Ngek Tsai yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Jabatan Patologi di salah sebuah hospital di Sarawak

KUCHING: Situasi yang dilalui oleh setiap petugas barisan hadapan ketika ini tidak mudah. Ianya memerlukan ketahanan mental, fizikal dan emosi yang tinggi.

Namun, itulah realiti yang perlu dihadapi oleh mereka dalam memerangi virus pembunuh, COVID-19.

Begitu juga dengan selebriti media sosial yang terkenal di Sarawak ini.

Dia berkongsi pengalamannya bertugas sebagai petugas barisan hadapan dalam masa sukar ini.

 

Di sebalik telatah lucu Ngek Tsai atau nama sebenarnya Zameen Saini, dia tidak terkecuali dengan tanggungjawab hakikinya sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan.

Hampir setiap hari dia perlu berdepan dengan risiko bahaya dijangkiti virus berkenaan. Namun, demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai tugas dilakukan tanpa rungutan.

Baginya yang bertugas di Jabatan Patalogi di sebuah hospital di Sarawak, dia perlu mengambil sampel di zon itu yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

“Sudah tertulis bahawa itu adalah tanggungjawab Ngek Tsai. Bukan sebagai seorang yang buat video sahaja dalam media sosial tetapi secara hakiki saya adalah seorang petugas barisan hadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, ada saat dirinya tersentuh mengenang rakan-rakan yang bertugas bersamanya tanpa mengenal erti penat lelah.

Ini termasuk berkorban tidak bertemu dengan keluarga tersayang dalam tempoh yang agak lama.

Justeru, dia menyeru agar orang ramai terus memberikan kerjasama sepatutnya kepada arahan kerajaan agar rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan segera.

“Kami di barisan hadapan tidak dapat melakukan ini keseorangan. Kami memerlukan bantuan anda. Kami inginkan bantuan masyarakat dan rakyat untuk bersama-sama duduk di rumah dan mendengar arahan,” tambahnya.

Dia menggambarkan suasana di tempatnya bertugas setiap hari sebagai medan perang ketika ini.

Malah pengalaman menggunakan Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE) adalah sukar baginya. Namun, ia harus dipatuhi demi keselamatan.