PENYANYI popular Aiman Tino, 21, dan kakaknya, Fara Hazel, 25, dikurniakan adik perempuan apabila ibu mereka, Hazelina, 43, melahirkan anak ke-11, Khamis lalu.
Bapa mereka, Yusry Ishak ketika dihubungi berkata, bayi seberat 3.39 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Selayang pada jam 6.55 pagi.
Yusry berkata, proses kelahiran anak ke-11 ini memberi dugaan besar kepada isterinya apabila terpaksa berada di bilik bersalin hampir lapan jam.
“Ini satu-satunya proses kelahiran yang saya lihat isteri seakan sedang bertarung nyawa. Saya kasihan melihat keadaannya yang terpaksa bertahan hampir lapan jam di bilik bersalin .
“Selalunya kurang dari dua jam dia sudah melahirkan anak, tapi kali ini proses kelahiran luar biasa. Jadi mungkin sudah tiba masanya untuk ‘tutup kilang’ seperti yang disarankan doktor, ” katanya.
Menurut Yusry, isterinya sudah dibenarkan pulang ke rumah mereka di Kuala Kubu Bharu, Selangor, hari ini.
Yusry berkata, seboleh-bolehnya dia mahu menambah zuriat lagi, tetapi usia isteri sudah mencecah 43 tahun. Dia juga akan membawa isterinya ke hospital untuk melakukan pembedahan kecil bagi mencegah kehamilan.
“Soal zuriat ini adalah rezeki Allah. Namun, disebabkan usia isteri yang semakin meningkat serta doktor juga menyarankan supaya isteri tidak lagi hamil, saya ikut saja.
“Lagipun masa menantikan isteri bersalin timbul rasa insaf dalam diri dan tidak mahu isteri hamil lagi kerana kasihan melihat keadaannya yang letih. Mujurlah saya ada di sisinya ketika itu. Saya juga bakal menimang cucu hujung tahun ini. Jadi nak tambah anak pun rasa tak sesuai,” katanya.
Menurut Yusry, anak ke-11 itu diberi nama Nina Delisya.
Selain Aiman dan Fara, Yusry dan Hazelina dikurniakan lapan lagi anak iaitu Mohd Aidil, 24, Nurfarazira, 23, Nur Isfasha, 17, Mohd. Haikal, 13, Nur Alya Mahsuri, 10, Nur Qaseh Mahsuri, 8, Mohd. Ikhwan, 5 dan Nur Nina Izara, 4.