SATU persatu persoalan timbul sejak Daus mengambil keputusan untuk bercerai pada Februari tahun lalu.

Lebih menyakitkan apabila Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli didakwa menceraikan isteri ketika masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketiga mereka.

Enggan terus membiarkan perkara itu bersarang di minda, Daus yang juga bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelapan mengabadikan kisah dan perjalanan hidupnya itu menerusi lagu ‘Takdir Kita’ yang dilancarkan pada 28 Ogos lalu.

Terbaharu, lagu ciptaan sepenuhnya Daus itu dipaparkan pula dalam persembahan video muzik (MV) yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Nova Music Videos, semalam.

Berkongsi perkara itu, Daus mengakui sebak sekali gus mengimbau kenangan lama ketika penggambaran dibuat.

“Apabila buat MV ini, memang terasa sebak kerana ia mengembalikan memori lama. Tapi saya cuba tahan perasaan sebab tak boleh nak terlalu terbawa-bawa. Saya masih boleh kawal.

IDEA jalan cerita MV lagu ini adalah sentuhan Daus sendiri.
IDEA jalan cerita MV lagu ini adalah sentuhan Daus sendiri.

“Saya cuma fikir, apa yang dipaparkan dalam MV ini bukan mengenai saya semata-mata tapi, pasti ada orang lain pernah melalui pengalaman sama. Ibaratnya saya mewakili perasaan mereka dengan menceritakan kisah mereka dalam MV ini.

“Walaupun tidak meraung, tapi nampak kesedihan dilalui dalam babak yang dilakonkan dalam MV ini,” katanya.

Daus berkata, jalan cerita MV arahan Azuad Abdullah itu memaparkan 60 peratus kisah perkahwinan dan perceraiannya selain menjawab segala persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat sebelum ini.

“Walaupun ia kisah benar kehidupan saya, tapi tidak sepenuhnya dipaparkan. Saya masih mahu menjaga sensitiviti pihak lain. Tidak mahu timbul sebarang isu pula. Cuma, menerusi jalan cerita MV ini, ia adalah salah satu cara saya mahu mendekati masyarakat.

“Apa yang pasti, segala persoalan terjawab dalam MV ini. Saya mahu beritahu kepada masyarakat dan netizen, saya bukan suka-suka nak bercerai. Kalau nak tahu sebab apa, kena tonton MV ini.

“Sejujurnya, idea MV ini daripada saya sendiri. Tapi, saya bersama pasukan daripada pihak pengurusan Nova Music berbincang untuk menambah baik apa yang perlu supaya MV ini lebih menarik,” katanya.

DAUS bersama model dan pelakon wanita dalam MV Takdir Kita.
DAUS bersama model dan pelakon wanita dalam MV Takdir Kita.

Ditanya tidakkah dia bimbang jika dikatakan masih belum ‘move on’ sebab memaparkan kisah peribadi dalam MV, Daus ada jawapan tersendiri.

“Sebenarnya, saya sudah lama ‘move on’. Namun, apabila saya perdengarkan lagu ini pada pihak pengurusan, mereka berminat untuk keluarkan. Alasan utama, lagu ini lebih matang dan kena dengan peredaran muzik semasa. Ditambah pula lagu ini ada kaitan dengan kehidupan diri saya sendiri.

“Disebabkan itu, MV ini pun mengisahkan tentang kehidupan saya. Jalan cerita adalah kisah benar berdasarkan lagu. Kiranya, dalam MV ini memaparkan peristiwa awal perkahwinan sehingga bercerai,” katanya.

Mengenai ketiga-tiga anaknya, Daus berkata dia sudah lebih setahun tidak berjumpa mereka.

“Anak-anak memang di Sarawak. Sejak bercerai mereka dijaga bekas isteri. Cuma, sejak saya di Kuala Lumpur, tak berpeluang jumpa mereka lagi.

“Apatah lagi dalam suasana yang melanda negara sekarang, ia lebih menyukarkan untuk kami berjumpa. Saya tak nak ambil risiko berjumpa mereka dalam keadaan sekarang. Insya Allah, tunggu masa sesuai. Kalau dah okay, baru saya balik.

“Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi sekarang, memang selalu buat panggilan video. Jadi, terubat juga rindu dengan mereka. Isteri okay, selagi saya tak lupakan tanggungjawab,” katanya.