PELAKON Mustaqim Bahadon bersyukur apabila perniagaan kedai gunting rambut serta produk yang diusahakan selama ini menjadi penyelamat untuk dirinya meneruskan kehidupan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekitar Mac lalu.

Mustaqim berkata, kehidupan sebagai insan seni bukan semudah yang disangka, namun dia beruntung apabila bayaran lakonan yang diterima tidak membuatkan dia gelap mata.

“Alhamdulillah selain memiliki dua kedai gunting rambut, saya juga mempunyai kedai vape di Wangsa Maju yang dibuka sewaktu PKP. Saya akui bergelar pelakon bukan mudah. Banyak kepayahan yang terpaksa saya tempuhi, namun sebab itulah saya pilih setiap kali ada modal saya akan membuka perniagaan.

“Hasil wang simpanan daripada berlakon jugalah saya berjaya membuka kedai sebagai pendapatan tambahan selain dapat membantu orang lain untuk bekerja,” katanya.

Menurut Mustaqim, menyedari jangka hayat seseorang selebriti pasti ada tarikh luputnya , perkara itu membuatkan dia ambil peluang untuk memulakan perniagaan dari sekarang.

“Alhamdulillah setakat ini saya bersyukur apabila setiap bulan masa saya akan terisi dengan penggambaran drama. Saya percaya sampai satu masa tawaran lakonan untuk saya tidak akan ada lagi. Barangkali permintaan untuk orang ambil saya berlakon mungkin semakin kurang.

“Jadi bila ada peluang dan ruang untuk saya berniaga, saya tak nak buang masa. Walaupun untung tak besar tapi saya seronok bekerja daripada duduk diam di rumah saja,” katanya.

Terbaharu, Mustaqim bakal mengeluarkan produk vitamin White T yang dijangka dipasarkan pada bulan depan.

MUSTAQIM sedia membantu ekonomi individu yang terjejas akibat Covid-19.
MUSTAQIM sedia membantu ekonomi individu yang terjejas akibat Covid-19.

“Melihat situasi sekarang yang amat membimbangkan membuatkan saya terpanggil untuk mengeluarkan produk vitamin ini. Perniagaan ini juga dapat membantu individu yang terjejas akibat Covid-19 atau hilang pekerjaan. Insha-Allah produk ini akan dilancarkan pada bulan depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustaqim kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Rahimah Tanpa Rahim untuk slot Akasia di TV3.

“Menerusi drama ini saya memegang watak sebagai Ramzi iaitu kawan baik serta pekerja kepada Jauhar lakonan Azlee Khairi. Ramzi seorang lelaki yang pendendam selain ingin merampas tunang Jauhar. Dalam drama ini juga saya perlu membawa watak sebagai lelaki mandul.

“Satu pengalaman baharu yang saya bawakan kali ini. Saya banyak mengkaji watak Ramzi ini kerana drama ini satu genre yang berat dan sarat dengan pelbagai mesej,” katanya.

Selain Mustaqim, drama terbitanCountry Universal Sdn Bhd ini dibintangi oleh Puteri Aishah, Hafidz Roshdi, Amelina, Liza Abdullah dan ramai lagi.