PENERBIT Eksekutif Wanita Hari Ini (WHI), Siti Hatija Yusof mengumumkan peningkatan jumlah tontonan program bual bicara itu mencecah purata 800,000 tontonan setiap episod, minggu lalu.

Siti Hatija berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kandungan berkaitan Covid-19 menjadi faktor peningkatan jumlah tontonan program yang mula bersiaran secara langsung pada 1 Januari 2001 itu.

“Ini mungkin menjadi antara faktor jumlah tontonan meningkat dengan mendadak. Sebelum ini, purata jumlah tontonan WHI untuk setiap episod adalah sekitar 500,000,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, WHI yang turut menampilkan dua muka baharu iaitu Hawa Rizwana dan Fatin Hamimah sebagai pengacara dan pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai penonton.

“Dengan adanya dua pengacara baru itu diharapkan akan menarik lebih ramai penonton untuk menonton. Kita tidak menyingkirkan mana-mana pengacara sedia ada sebaliknya menambah jumlah mereka kerana untuk tahun ini, kami wujudkan segmen di mana kita cuba menjangkau kawasan luar dari Lembah Klang.

“Di samping itu, pengacara juga tidak terkejar-kejar kalau perlu membuat liputan di luar kerana ada pengacara lain yang akan mengacarakan di studio,” katanya.

Siti berkata, pihaknya tidak pernah rasa selesa dengan jumlah tontonan sedia ada dan akan terus mempertingkatkan kandungan mereka.

“Yang paling penting adalah kandungan yang kami paparkan. Walaupun dalam tempoh PKP ini, kita masih lagi bersiaran dan kandungannya kami kaitkan dengan situasi yang berlaku sekarang,” katanya.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan