PELAKON veteran Wan Maimunah, 67, terkejut apabila video luahan hatinya ketika menerima bantuan daripada Ustaz Sheikh Mohammad disalah ertikan banyak pihak.
Beliau yang mesra dengan panggilan ibu berkata, dia sedih apabila segelintir netizen mengambil peluang ini dengan menghentam Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang dikatakan tidak buat kerja menjaga kebajikan penggiat seni.
“Saya agak kecewa apabila terima paparan skrin kecaman netizen terhadap Seniman dan persatuan-persatuan artis lain. Sebenarnya Seniman yang mula-mula sekali hantar bantuan kepada saya, seterusnya disusuli dengan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM). Alhamdulillah, saya dapat perhatian mereka sekali gus apa yang dikatakan itu tak betul,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut wanita yang dikenali sebagai pelakon air mata ini, dia memahami semua pihak menyayanginya, namun janganlah sampai berlaku salah faham sedemikian rupa.
“Tak seronoklah kerana pihak Seniman adalah persatuan terawal ambil berat dan menghulurkan bantuan. Jadi, saya sangat ‘down’ dengan apa yang berlaku. Cuba dengar betul-betul apa yang saya cakap dalam video itu. Saya kata bersyukur sangat dapat lagi bantuan.
“Ini bermakna sebelum itu sudah dapat. Takkanlah Seniman nak kena ‘update’ setiapkali beri bantuan kepada artis. Banyak lagi kerja lain yang nak dibuat,” katanya.
Wan Maimunah menasihatkan netizen agar tidak bertindak melulu mengeluarkan sebarang komen.
“Saya sangat berterima kasih dengan komen peminat kerana ia tanda mereka sayangkan saya. Cuma saya minta janganlah berburuk sangka kepada orang. Tak semua yang menghulurkan bantuan itu nak menghebohkan kepada orang ramai. Seniman memang ada buat bantuan. Namun kita juga kena ingat dari mana Seniman nak dapat dana kerana mereka juga perlu cari sumbangan bagi memberikan bantuan ini,” katanya.
Mengulas sumbangan yang diterimanya baru-baru ini, Wan Maimunah melahirkan perasaan terharu kerana Ustaz Sheikh Mohammad sanggup datang mengunjunginya yang tinggal jauh dari ibu kota.
“Saya sebenarnya tinggal di Melaka, tapi untuk masa ini saya tinggal di kediaman anak angkat di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor untuk memudahkan penggambaran. Tak sangka pula selepas itu kita kena berkurung di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik COVID-19.
“Saya amat berterima kasih kepada Ustaz Sheikh Mohammad yang bekerjasama dengan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) dan rakan artis seperti Zul Yahya dan Azza Elite menghulurkan bantuan,” katanya.
“Tidak lupa dia juga melahirkan perasaan terharu kerana beberapa artis dan individu bermurah hati memberi sumbangan berupa duit kepadanya.Syukur kerana ada yang ingat dan sayang. Ada juga hamba Allah yang kirimkan sumbangan. Juga, ada individu tak dikenali, dapat nombor saya dan hubungi ibu beritahu nak beri sedikit wang.
“Setiap kebaikan pasti dapat kebaikannya walaupun dengan sepotong doa. Dengan doa pun memberi seribu rahmat. Saya sendiri mendoakan agar Allah beri hidayah kepada mereka yang tersalah anggap. Janganlah mengaibkan orang. Sangat sedih kerana ia membabitkan maruah orang,” katanya.