MEMBUAT keputusan berkahwin dengan pelakon Mustapha Kamal 20 tahun lalu, Susan Manen kini bahagia dengan pilihannya itu.

Susan, 46, gembira menjalani kehidupan berkeluarga dan patuh dengan kehidupan barunya sebagai saudara baharu ketika itu.

Dia akan berpuasa setiap kali Ramadan dan tidak pernah menganggap ia proses yang menyusahkan.

“Pengalaman saya mula-mula puasa tak susah sangat kerana sebelum ini saya beragama Kristian Katolik dan ada puasa 40 hari. Cuma, puasa dalam Islam berbeza kerana tak boleh makan dan minum sepanjang hari sehinggalah waktu berbuka.

“Saya anggap puasa bukan masalah besar dan lebih senang ikut arus. Waktu bercinta dengan abang Mus pun saya memang dah ikut berpuasa,” katanya.

Pelakon filem Penyu ini bagaimanapun mengakui dia tetap berdepan dugaan kecil ketika mula berpuasa.

“Mulanya memanglah rasa tak bertenaga. Rasa pening dan nak pitam semuanya ada. Tapi sebenarnya semua itu bergantung pada pemikiran kita juga. Saya kena positif dan kuat. Kena ingat saya buat ini atas perintah Allah.

“Tahun pertama saya tak pernah sengaja tinggal puasa kecuali ketika datang bulan. Bahkan masa mengandung pun saya masih berpuasa. Bila lagi nak dapat puasa penuh. Rugilah kalau saya tak buat,” katanya.

SUSAN dan Mustapha sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.
SUSAN dan Mustapha sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.

Susan menyifatkan satu kerugian sekiranya seseorang Muslim tidak dapat berpuasa penuh.

“Bagi saya, satu perasaan yang indah apabila dapat berpuasa. Saya sekarang dah rasa biasa kena puasa. Satu kelebihan saya ialah saya tiada nafsu makan yang melampau.

Dalam keadaan sukar sekarang, memang kena berjimat.

“Anak-anak kena bangun sahur sebab abang Mus memang ajar begitu. Saya kejutkan semua untuk makan nasi tapi masakan ringkas sahaja,” katanya.

Menurutnya, kebiasaan pada awal puasa, rumah mereka akan meriah dengan kehadiran anak-anak suaminya yang datang berbuka bersama-sama.

“Tahun ini tak dapatlah kerana kita kena ikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi tak mengapa kerana apa boleh buat. Saya hanya berbuka ala kadar untuk keluarga. Masak hanya tiga jenis lauk.

“Abang Mus memang ajar anak-anak berpuasa tak kiralah yang kecil pun. Memang anak yang kecil sering mengadu lapar tapi adanya gajet dia lupa soal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Susan sedih kerana tidak dapat menunaikan solat Tarawih di masjid seperti dahulu.

“Saya suka buat Tarawih di masjid. Seronok rasanya berjalan kaki dari rumah ke masjid kerana ada kenikmatan tersendiri. Tahun ini kena buat di rumah sahaja. Walaupun dengan keluarga tapi rasa berbeza. Fokusnya agak lain berbanding bertarawih di masjid,” katanya.

Susan dan Mustapha mempunyai empat anak iaitu Sabella Qawiema, Aulia Qayyiem, Salsabil Qur’ani dan Naqli Qaddiem.