PENYANYI dan pelakon, Acong Sweetchild dimasukkan ke Hospital Ampang, akibat darah tinggi, jam 5.30 petang, semalam.

Isterinya, Marya Zuraida Zahari ketika dihubungi memaklumkan Achong sudah ditahan di wad biasa dan keadaan bertambah baik.

“Petang semalam selepas ke klinik dalam jam 4 petang, doktor suruh bawa suami ke hospital. Ia disebabkan bacaan tekanan darahnya (BP) melebihi 250.

“Dia kemudian dimasukkan ke wad kecemasan zon kuning dari jam 5.30 petang sehingga 12.30 tengah malam. Selepas tekanan darah turun kepada 208 barulah dipindahkan ke wad biasa.

“Hari ini tekanan darah turun 100 lebih dan keadaannya sudah bertambah baik. Bagaimanapun, tekanan darah Achong masih tidak stabil dan kerap turun naik,” katanya.

Marya berkata, Achong tidak ada sejarah penyakit itu dan selain hanya diberikan ubat biasa sebelum ini sewaktu ke hospital.

“Sebelum ini, saya cuma tahu dia selalu ada masalah kesihatan setiap kali sibuk atau tidak cukup tidur.

“Doktor ada bagi ubat dan sekali itu sajalah dia makan ubat untuk darah tinggi. Selepas itu dia tak perlu makan ubat dan hanya ambil panadol kalau pening kepala,” katanya.

Marya turut memaklumkan buat masa sekarang doktor belum dapat memastikan berapa lagi Achong akan dirawat di wad.