PELAKON Sharifah Sakinah mengambil pendekatan bersemuka secara langsung di Instagram Live dengan Zarina Anjoulie, petang hari ini.
Menerusi klip video berdurasi dua minit dan 20 saat yang tular di media sosial itu, Sakinah secara berterus terang memberitahu Zarina bahawa dia tidak menyukai sikap pelakon drama Anak Pontianak itu yang ingin bergelar jaguh dalam situasi yang melanda.
Katanya, Zarina seorang wanita baik dan akan bercakap apa saja dan mereka berdua tahu rahsia kebanyakan artis.
Dalam perbualan itu, Zarina menjelaskan dia hanya bercakap perkara yang betul.
Katanya, dia bercakap berdasarkan kebenaran yang berlaku dan dia juga pernah bergelar artis sebelum ini.
Zarina berkata, dia kemudian menjadi orang biasa dan menjalankan perniagaan. Malah, ada artis pernah mengambil kesempatan terhadap perniagaannya.
Dia tidak kisah jika orang menganggap dia cuba menjadi hero kerana dia hanya bercakap untuk diri sendiri, bukannya netizen.
Dalam pada itu, Sakinah turut memberitahu banyak orang cuba menjadi batu api hingga perkara membabitkan mereka makin berpanjangan.
Terdahulu Sakinah dikatakan menyelar sikap Zarina di Instagram dengan mengatakan kawannya itu cuba mengambil kesempatan apabila lantang bersuara dan menyelar tindakan segelintir artis yang berharap bantuan khusus daripada kerajaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ketika ini.
Tindakan Zarina itu dikatakan bagi meraih perhatian supaya dia boleh menjalankan perniagaan di Instagram miliknya.