Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin menjelaskan tindakan dia memuat naik hantaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) di Instagramnya semalam bukan bermaksud mahu menyalahkan mana-mana pihak.

Shahrulezad berkata, status berbunyi “Kalau 2 peserta (pelakon) dalam 1 van, berapa van diperlukan untuk production shooting? Matilah nakkkkkk! adalah bagi meluahkan dilema yang terpaksa dihadapi mereka sebagai pengkarya.

“Itulah dilema kami sekarang. Disebalik kebenaran yang diberikan, kami terikat dengan SOP yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Banyak sangat syarat-syarat SOP yang ketat, namun saya terima dengan hati terbuka setiap SOP kerana tujuannya baik iaitu untuk keselamatan rakyat Malaysia.

“Dilema yang dimaksudkan ialah bila kami dibenarkan ‘shooting’, tapi dalam masa sama SOP menekan kami dari segi kos dan kelancaran serta dari aspek sasaran yang perlu kami capai kerana kami juga ada KPI sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, asas MKN menetapkan hanya dua penumpang dalam satu van adalah tepat kerana jika ramai boleh mengundang risiko.

“Bagaimanapun bagi saya benda itu dikira menyusahkan kami. Bukan saya nak salahkan MKN yang tetapkan syarat itu. 

“Cuma saya rasa ia menyusahkan. Bayangkan satu van hanya untuk dua penumpang dan kalau ‘runner’ nak ambil orang macamana?

“Kalau semua orang akan datang dengan kenderaan masing-masing, ia akan meningkatkan kos minyak dan tol. Tambah lagi, kalau lokasinya jauh,” katanya. 

STATUS Shahrulezad di Instagramnya semalam. FOTO IG Shahrulezad
STATUS Shahrulezad di Instagramnya semalam. FOTO IG Shahrulezad

Menurut Shahrulezad, dia sendiri membelanjakan sekitar RM100 untuk kos minyak hanya dalam beberapa hari sahaja.

“Kadangkala tak sampai seminggu pun. Kos kami memang meningkat. Situasi sangat serba salah sebenarnya, untuk kami nak menyokong atau tidak.

“Kalau menyokong, ia baik untuk semua orang. Dan kalau kami tak menyokong, ia tak baik untuk kami juga serta akan menyusahkan dari sudut lain. 

“Apa yang boleh produksi Radius One buat sekarang ialah berhentikan penggambarani buat sementara. Jika keadaan dah reda baru kami sambung semula,” katanya.

Bagaimanapun Shahrulezad berkata, keputusan ini akan menimbulkan masalah buat produksi yang mengejar deadline atau  sudah hampir menyelesaikan penggambaran.

“Ia sesuatu yang sukar buat kami dan ibaratnya ditelan mati emak diluah mati bapa. Syarat yang MKN kenakan memang wajar. 

“Sebabnya kalau dah berkumpul ramai-ramai dalam satu kenderaan apa maknanya SOP? Tapi kalau kami ikut satu beban pada kami,” katanya yang menghentikan seketika penggambaran drama Takdir Yang Tertulis untuk slot Samarinda TV3.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19