TINDAKANNYA menerbitkan filem terlebih dahulu tanpa menjalinkan kerjasama awal dengan mana-mana pemamer dianggap sangat berani.

Namun, Syahmi Sazli mampu tersenyum apabila filem Mael Totey The Movie arahan dan terbitannya mula menemui penonton menerusi saluran Astro First sejak kelmarin.

Syahmi yang juga penulis skrip dan pelakon filem ini berkata, dia memperjudikan nasib mengeluarkan modal hampir RM400,000 semata-mata untuk filem ini.

“Pada peringkat awal, saya tak tahu siapa yang akan ambil cerita ini. Yang penting saya nak siapkan terlebih dahulu kerana ia impian saya. Alhamdulillah, selepas siapkan dengan sempurna saya bagi kepada Astro First dan mereka setuju untuk ambil dan kini sudah pun ditayangkan,” katanya.

Tanpa pengalaman mengarah drama atau filem dan hanya sekadar menghasilkan drama pendek untuk tayangan di YouTube, Syahmi mengakui perlu melalui pelbagai proses yang dianggap asing buatnya.

“Cabarannya ialah ini pengalaman pertama saya arah filem dan tak tahu bagaimana prosesnya. Saya hanya tahu kena minta borang Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kena berurusan dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan sebagainya. Tapi dua minggu sebelum penggambaran, baru saya tahu kena jadi ahli Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) untuk dapat lesen mengarah,” katanya.

MAIL Totey The Movie tampil kelainan dari segi pembikinannya.
MAIL Totey The Movie tampil kelainan dari segi pembikinannya.

Dari Kelantan, Syahmi terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur untuk tujuan ini.

“Ketika mula-mula nak jadi ahli, FDAM seperti tak yakin dengan saya kerana saya tiada pengalaman mengarah drama. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Mereka akhirnya beri kelulusan kepada saya. Terima kasih kepada mereka serta persatuan seni yang ada. Untuk filem, saya kena buat betul-betul berbanding hasilkan drama untuk YouTube yang dibuat sekadar untuk suka-suka,” katanya.

Syahmi perlu memastikan filem ini sempurna. Apatah lagi, dia memegang peranan utama sebagai Mael.

“Ia adalah adaptasi dari Mael Totey di YouTube. Jadi saya kenalah bawakan watak ini dalam filem. Sebagai berlakon, saya juga mengarah dan kena kendalikan pelakon lain.

“Asif dan Yoe dah dikira okay kerana sudah ada pengalaman berlakon, tapi saya tambah lagi dua Orang Kelainan Upaya (OKU)†iaitu Yatin dan Bedul membuatkan tanggungjawab saya bertambah berat.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran semua pihak, penggambaran pada 12 Julai lalu dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari sahaja,” katanya.

SELAIN mengarah, Syahmi turut berlakon serta menyunting filem ini.
SELAIN mengarah, Syahmi turut berlakon serta menyunting filem ini.

Menurutnya, filem ini menggunakan tagline “Kita lain mereka sama” kerana dia adalah individu yang bertindak merangka dan menyiapkan filem ini dari awal hingga akhir.

“Mungkin orang akan ketawakan saya kerana kata-kata ini. Tapi pernahkah kita dengar contohnya Datuk Aaron Aziz, seorang pelakon sunting filem sendiri? Tapi untuk filem ini sayayang buat semuanya termasuk produksi. Cerita ini juga paparkan OKU dan inilah dikatakan kita lain mereka sama. Harapan saya bukanlah terlalu nakkan kutipan tinggi. Saya cuma berharap tiada yang cuba cetak rompak. Mungkin ia benda mustahil tapi saya harap ia takkan berlaku,” katanya.

Filem ini mengisahkan seorang lelaki lurus bendul iaitu Mael berusaha mempelajari Bahasa Inggeris demi gadis idamannya.