TIDAK mahu terperuk dalam zon selesa saja, penyanyi Haqiem Rusli mahu terus mencabar dirinya menjadi komposer yang terbaik.
Walaupun baru berusia 22 tahun, dia perlu sentiasa menampakkan anjakan dari segi kualiti lagunya.
Disebabkan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi ini mahu banyakkan penghasilan lagu yang menyentuh mengenai isu masyarakat berbanding cinta.
Baginya, pendekatan itu penting bagi membuktikan dia peka dengan isu semasa walaupun usianya masih muda.
Haqiem mengakui pendekatan itu ada pro dan kontranya, namun dia positif ia bertujuan untuk meningkatkan lagi daya kreativitinya.
Baginya, bukan jumlah tontonan video muzik yang dihitung, sebaliknya mesej dan nilai lagu itu sangat penting.
“Saya nak lihat kualiti muzik saya semakin hari semakin meningkat dari segi intipati dalam lagu itu. Ia sangat penting jika saya mulakan pendekatan sebegini sebagai anak muda.
“Saya nak tunjukkan anak muda pun mampu menghasilkan lagu yang berada di luar kotak pemikiran. Bukannya sekadar lagu cinta tapi kematangan serta eksperimen itu paling penting untuk saya sekarang.
“Contohnya lagu Lembah Kesepian sendiri berjaya meninggalkan impak yang besar terutama pada Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) lalu.
Ramai yang memahami isu mengenai ibu bapa dan sedikit sebanyak membuka minda anak muda supaya menghargai mereka,” katanya.
Dengan pendekatan terbaru itu, Haqiem bagaimanapun menafikan dia tidak akan menghasilkan lagu cinta langsung selepas ini. Sebaliknya, dia mahu seimbangkannya.
“Bukan saya kata lagu cinta tak bagus, hakikatnya banyak lagu saya mengenai cinta juga. Tapi kalau kita lebihkan lagu mengenai isu masyarakat ini, ada bonusnya seperti lagu Lembah Kesepian. Walaupun dari segi tontonan nanti pasti kurang, tapi tidak mengapalah.
“Ini disebabkan, saya sudah pun melepasi peringkat di mana beberapa lagu saya menjadi tular dan mendapat jutaan tontonan. Tidak kisah jika mendapat jumlah tontonan yang kurang, tapi sebolehnya saya mahu lagu yang akan menekankan isu serta memberi manfaat kepada masyarakat. Itu lagi penting,” katanya.
Dalam pada itu, Haqiem juga bimbang apabila beberapa tahun ini dia terlalu sibuk bekerja hingga kurang masa berehat.
Dia mengakui lebih kerap berada di luar berbanding rumah sendiri.
Sehubungan itu, dia mahu lebih fokus kepada kebajikan dirinya sejak Mac lalu selain memberi ruang buatnya menyiapkan kerja dari rumah.
Antaranya termasuklah lagu yang dihasilkan untuk penyanyi lain.
“Saya mahu lebihkan masa di rumah bersama keluarga serta pembikinan lagu. Jika sibuk sangat, lagu tak sempat disiapkan. Masih banyak lagu yang perlu saya siapkan untuk rakan penyanyi lain.
“Cuti ini memberi kesan besar jugalah dalam hidup saya disebabkan rehat itu sangat penting buat saya sekarang. Seronok rasanya apabila bangun pagi berada di rumah sendiri dan puas dapat duduk rumah saja tanpa kesibukan berganda.
“Saya memang lakukan ini untuk bulan-bulan seterusnya di mana setiap minggu saya perlukan sekurang-kurangnya sehari untuk berehat di rumah saja. Kalau kerja terus, takut nanti badan tidak mampu menampung penat dan berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, Haqiem juga menyatakan keterujaannya untuk melancarkan album kedua yang belum ditetapkan judulnya.
Walaupun belum menetapkan tarikh pelancaran, dia tidak sabar untuk menunjukkan lebih banyak sisi berbezanya menerusi album itu.
“Konsep album kedua saya nanti banyak berkisar mengenai diri sendiri dan semua lagu yang dimuatkan sudah siap. Tinggal lagi hendak lancarkannya satu-persatu, mungkin tahun ini atau tahun depan.
“Yang pasti, saya akan menunjukkan kemampuan diri dengan pelbagai genre lagu dalam album berkenaan. Baik lagu berentak rancak, Inggeris, balada, punk rock, sekali gus lari daripada kepompong genre balada yang sememangnya jadi makanan saya,” katanya.