SIAPA sangka, walaupun rezeki dalam bidang nyanyian sedikit menyusut disebabkan kehadiran pandemik Covid-19, rezeki lain pula yang datang buat penyanyi, Fadh Majid.

Fadh atau nama sebenarnya Muhd Fadhlullah Abd Majid berkongsi mengenai satu lagi minatnya yang kini mula membawa kepada sumber pendapatan.

“Selepas selesai dengan program realiti Big Stage pada tahun lalu, karier seni saya berkembang agak perlahan kerana patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Namun, alhamdulillah kerana Allah gantikan dengan tawaran lakonan yang sedikit sebanyak membantu saya menjana pendapatan,” katanya.

Berkongsi mengenai minatnya terhadap lakonan, Fadh yang menjadikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai idola tidak pernah menyangka berpeluang mencuba nasib sebagai pelakon.

“Sebenarnya, saya memang dah lama meminati bidang lakonan. Idola saya adalah P Ramlee kerana pada saya, Allahyarham adalah anak seni yang versatil.

“Dia boleh berlakon, menyanyi, mengarah, mencipta lagu dan banyak lagi.

“Saya sendiri pun tak pernah menyangka akan ditawarkan untuk berlakon. Antaranya, telefilem berjudul Kifarah Buta yang sudah ditayangkan saluran Astro Citra.

“Satu lagi karya yang saya dah selesai jalani penggambarannya adalah drama bersiri 13 episod berjudul Aku Seorang Perempuan,” katanya.

Ingin lebih serius dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelakon, Fadh merancang untuk menyertai kelas lakonan bagi memperbaiki kemampuan dan skilnya.

“Bagi saya, proses pembelajaran tidak akan pernah terhenti. Jadi, saya merancang untuk menyertai kelas lakonan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Bukan sahaja kelas lakonan, saya juga nak menyertai kelas vokal untuk menambah ilmu dalam bidang muzik yang juga menjadi punca rezeki saya,” katanya.

Terbaharu, Fadh akan hadir dengan single kedua berjudul Tak Mungkin Mendua ciptaan komposer, Ajai dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.

“Lagu ini adalah kesinambungan daripada single pertama saya berjudul Bukan Takdirku. Lagu ini adalah hasil ciptaan saya sendiri, tapi, untuk single kedua pula saya bekerjasama dengan Ajai dan Fedtri.

“Ini menjadi peluang berharga buat saya sebab sepanjang aktif dalam bidang nyanyian, sememangnya saya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kedua-dua mereka.

“Alhamdulillah, proses penghasilan lagu dan rakaman berjalan dengan lancar dan Insya-Allah, saya akan pertaruhkan lagu ini tidak lama lagi serentak dengan video muziknya,” kata Fadh.