Kuala Lumpur: “Kalau Aeril ada buat silap sekali pun, Wawa selalu niat dalam hati sudah memaafkannya walaupun dia belum lagi meminta maaf,” kata pelakon, Wawa Zainal dalam video yang dimuat naiknya di Instagram semalam.

Terdahulu, Wawa yang kini bergelar ahli perniagaan berkongsi video mengenai tip dalam berumah tangga.

Dalam hantarannya itu, Wawa juga berkongsi bahawa pergaduhan dan rasa dendam dalam rumah tangga boleh menyekat rezeki untuk keluarga.

“Jadi, Wawa niat dalam hati, ‘ok aku maafkan dia, aku tak nak rasa dendam sebab aku tak nak rezeki tersekat’.  Kalau kami ada bergaduh urusan bisnes pun, tak boleh macam ni, nanti rezeki tak dipermudahkan,” katanya.

Dua hari lalu, Wawa juga berkongsi tangkap layar mesej yang diterima daripada individu tidak dikenali yang menyampaikan cerita mengenai Aeril kononnya berlaku curang kepada Wawa.

“Seram betul ya zaman sekarang ini,” tulis Wawa disertakan dengan emoji ketawa.

Mencuit hati pengikutnya di Instagram, Aeril muncul dalam ruangan komen hantaran itu dan ‘menjelaskan’ mengenai ‘kecurangannya’ itu.

“Kami cuma membuat ‘home work’ (kerja rumah) saja. Tak ada buat apa-apa pun,” tulisnya.

Hantaran dikongsikan Wawa itu menerima lebih 100,000 tanda suka daripada pengikut dan peminatnya di samping lebih 4,000 komen.