PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyerahkan 2,000 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

Sumbangan itu hasil daripada Dana P.K.P Siti Nurhaliza yang dilancarkan pada 15 April lalu.

“Syukur alhamdulillah. Hasrat dan kepedulian kita bersama-sama, Yayasan Nurjiwa dan Dana P.K.P Siti Nurhaliza menyampaikan sumbangan kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Sebagaimana dirancangkan, sumbangan ini adalah di dalam kategori Peduli, Dana P.K.P Siti Nurhaliza untuk keperluan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sebanyak 2,000 set.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang Dana P.K.P Siti Nurhaliza yang dilancarkan pada 15 April lalu dan usaha pertama kita sudsh dilaksanakan. Saya berharap agar menerusi dana ini, kategori Kemanusiaan dan Prihatin dapat diteruskan sehingga Syawal nanti,” katanya.

Dana PKP Siti Nurhaliza diteruskan lagi bagi memberi fokus kepada kategori Kemanusiaan dan Prihatin.

Menurut Siti, untuk fasa kedua ini dia turut mengadakan sesi siaran langsung di saluran YouTube Siti Official Video pada 3 Mei ini, jam 2.30 hingga 4 petang.

“Pada Youtube Live P.K.P yang pertama iaitu pada 19 April lalu, saya berasa terharu dengan sifat budiman semua pihak sama ada dalam kalangan peminat, pihak korporat, individu dan orang ramai yang turut sama memberikan sumbangan.

“Ternyata menerusi sesi siaran langsung itu, kita berjaya mengumpul dana yang mencukupi bagi membuat sumbangan PPE kepada petugas barisan hadapan dan buktinya, semalam pihak saya sudah pun membuat serahan kepada KKM.

“Saya sekali lagi mengajak orang ramai untuk sama-sama menonton di saluran YouTube pada Ahad ini.

Saya yakin, di dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Inilah perkongsian, saya tidak memaksa bagi yang tidak boleh sama menyumbang kerana saya memahami situasi kita.

“Tidak semua berada dalam keadaan yang sama. Saya mengajak mereka yang turut sama mahu mendukung, biarlah RM1, RM5, RM10, bukan nilainya tetapi niat murni kita itu pasti ada ganjarannya,” katanya.

Kepada yang ingin sama-sama menderma, boleh ke laman web Kitafund.com.