“DIALAH orang pertama yang membuka mata saya dengan mengajar teknik lakonan sebenar kepada saya,” kata pelakon dan penerbit popular, Datuk Rosyam Nor mengenai pengarah, Kamal Ishak yang meninggal dunia di kediamannya di Kulim, Kedah, jam 2.02 pagi hari ini.

Rosyam menyifatkan Allahyarham seorang guru yang tidak ternilai dan jasa baiknya akan dikenang sampai bila-bila.

“Ilmu yang dicurahkan membuat saya mula diperhatikan selepas 13 tahun gagal menempatkan diri setara dengan bintang-bintang yang lain,” katanya.

Menurut Rosyam, biarpun nama Kamal mungkin tidak menjadi sebutan ramai tetapi dia adalah pengarah disegani.

Menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Aliff Iman Kamal, 22, bapanya mempunyai masalah saraf, tetapi tidak menghidap penyakit kronik lain.

Katanya, kesihatan arwah mula merosot lebih sebulan lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan, masanya dihabiskan dengan banyak terlantar di katil.

Bagaimanapun, Aliff bersyukur bapanya meninggal dunia pada bulan Ramadan di hadapan ibunya dan anak-anak.

Kamal adalah pengarah filem Cinta Kita lakonan Aman Graseka dan Sofea Jane pada 1995 dan filem Penyair Malam lakonan Zack Idris dan Yasmin Suraya pada 1998.

Sementara iu, Aman berkata, Allahyarham bukan saja gurunya dalam bidang lakonan, tapi juga sebagai abang yang sentiasa memberi nasihat dan teguran.

“Arwah begitu rapat dengan saya dan juga keluarga saya. Sentiasa bersama-sama dalam apa jua keadaan. Bagaimanapun, dalam tempoh PKP ini, saya tak dapat menziarahnya tetapi selalu berhubung menerusi telefon,” katanya yang membawa watak hero dalam filem Cinta Kita.  

Menurutnya, ilmu yang diberikan Kamal terhadapnya juga terlalu banyak.

“Hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang pengarah dengan ilmu yang diajarkan kepada saya tak kesampaian,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah Murali Abdullah menyifatkan Kamal seorang yang mencintai karier seninya sehingga akhir hayat.

 “Walaupun sakit, dia sanggup datang ke sesi pengenalan proses pembelajaran di Kolej Teknologi MEA, Kajang yang dikendalikan saya baru-baru ini. Dia berusaha untuk dapat pengiktirafan sebagai platform buatnya mengajar. Sebelum ini dia mengadu tiada orang nak ambilnya kerana dia tiada sijil,” katanya.

Jenazah Kamal dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Taman Haruan, Kulim, Kedah, hari ini.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan