PELAWAK, Man Raja Lawak menyumbang sebahagian wang kemenangan program Maharaja Lawak 2019 (MLM 2019) sebanyak RM50,000 kepada individu kurang berkemampuan.
Man atau nama sebenarnya Abd Rahman Kasim mengalu-alukan mereka yang memerlukan dapat menghantar mesej peribadi (DM) di Instagram.
“Situasi sekarang amat terkesan kepada semua rakyat Malaysia termasuk saya dari segi emosi dan kewangan. Jadi, sebagai rakyat dengan rendah hati terpanggil untuk berkongsi hadiah wang hasil juara MLM 2019 tempoh hari bagi meringankan beban anda untuk meneruskan kehidupan.
“Sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan saja yang akan saya layan. Sila DM dan berikan maklumat kenapa saya harus membantu anda sehingga bajet RM50,000 habis digunakan sepenuhnya,” katanya.
Bagi berlaku adil dan telus, Man berkata, dia terlebih dahulu meneliti setiap permohonan.
“Sekiranya tiada respons bermakna permohonan anda gagal. Semoga bantuan kecil ini dapat dimanfaatkan sebaiknya. Hanya doakan saya murah rezeki dan sihat tubuh badan,” katanya.
Pada MLM 2019 lalu, Man yang menganggotai kumpulan Puteh diumumkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 berserta trofi.