TINDAKAN penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein, 40, dan suami Mohamad Azlan Che Noh, 30, melambat-lambatkan pembelian tiket penerbangan dan tempahan bilik hotel untuk berbulan madu di Eropah ada hikmahnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu kerana penularan wabak Covid-19.
Pasangan ini yang merancang untuk berbulan madu di England, Jerman dan Belanda tidak dapat membayangkan jika mereka sudah berada di sana ketika kerajaan sudah melaksanakan PKP.
“Bayangkan jika kami sudah di sana, apa jadi sekarang? Bulan madu pun ke laut! Saya berasakan ada hikmah kenapa proses nak menempah percutian itu lambat. Akhirnya, kami berbulan madu saja di rumah. Tapi, sebelum itu sempat juga ke Langkawi sebelum PKP,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Elly, sejak awal lagi perancangan itu seperti ada yang menghalang.
“Mula-mula kami tengok harga bilik masih mahal, jadi tak beli lagi. Kemudian, tengok tiket penerbangan pun sama,” katanya.
Elly yang menjadi artis jemputan pada program #dirumahjer secara langsung di Instagram @myhmrap Harian Metro semalam turut mendedahkan mereka sepatutnya bernikah pada Mac iaitu ketika cuti persekolahan.
“Kalau nak tahu juga, sepatutnya saya bernikah pada Mac iaitu ketika cuti sekolah tempoh hari. Nak dijadikan cerita, hotel pula penuh. Jadi, selepas berbincang dengan Reeka Teemor, kami cuba awalkan ke Januari. Saya pun bertanya pada bakal suami ketika itu sama ada dia okey atau tidak pada Januari. Dia cakap okey dan kami pun teruskan perancangan baru itu. Alhamdulillah, Allah permudahkan. Mujur tak jadi buat Mac,” katanya.
Pada program #dirumahjer itu, Elly ‘sporting’ menjemput suaminya untuk turut serta menjayakan cabaran diberikan iaitu berlakon dan menyanyi.
Elly dan Azlan selamat bernikah pada 18 Januari lalu selepas bertunang pada 18 Disember tahun lalu.