PERNAH makan mi segera, duit kocek tinggal RM1 dan kereta baru beli ditarik bank.

Ini antara pengalaman pahit yang tidak akan dilupakan komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun, 36, seumur hidup.

Menurut Hafiz, kepayahan bagaimanapun memberikan dia kemanisan hari ini apabila empayar perniagaan dibinanya sejak 14 tahun lalu kekal bertahan.

“Semua kenangan itu saya lalui pada awal pembabitan nak berniaga untuk buka studio rakaman sendiri sekitar 2006 lalu. Ketika itu, saya pun masih belajar lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Duduk pula menyewa dengan rakan dan malulah nak minta tolong dengan orang lain kerana pada masa sama, saya juga aktif menyanyi dengan kumpulan UNIC.

“Kiranya, sudah jadi artislah ketika itu yang kebanyakan orang selalu anggap ada ramai peminat dan popular. Tawaran menyanyi pula tak putus, tapi hakikatnya duit tak ada sebab bayaran persembahan belum masuk akaun,” katanya kepada Rap.

Menurut Hafiz, dulu dia juga sangat bimbang jika kesusahan dialami itu diketahui peminat.

Namun, kini selepas berjaya dia terbuka untuk berkongsi rahsia.

“Sebagai manusia biasa, tetap ada malu dan ego. Begitu juga dengan saya, apa yang pernah menjadi rahsia itu disembunyikan kerana tak mahu meraih simpati dan membuatkan ibu bapa risau.

“Bagi saya, selain tak putus berdoa kepada Allah, kena usaha juga. Jadi, saya pilih berusaha sedaya yang mampu dan jika masih tak berjaya, barulah minta pertolongan keluarga.

“Dengan kepayahan dilalui itu, turut mengajar saya mengurus kewangan yang betul. Dahulukan bayaran untuk keperluan dan pastikan membuat simpanan bagi kegunaan kecemasan,” katanya.

Menurut Hafiz, dalam hidup ini harus berani mencuba.

Katanya, biarpun sukar, kena cuba dahulu kerana yakinlah hasilnya akan diperoleh apabila tiba masanya.

Menurutnya, pasang angan-angan juga tidak salah tetapi pastikan ada usaha. Kejayaan takkan datang bergolek begitu saja dan cekalkan hati untuk menempuh pelbagai dugaan sebelum berjaya.

Hafiz yang mempunyai syarikat rakaman dikenali Arteffects, kini turut terbabit dalam perniagaan pakaian secara dalam talian yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu.