PELAKON, Fikry Ibrahim berharap masyarakat tidak mengambil mudah atau mencuri peluang untuk ‘bebas’ susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Fikry yang memiliki dua buah kedai gunting rambut iaitu Dashing Diva di Putrajaya dan Hair Feeks Barbershop, Setapak, berkata, sekiranya premis miliknya dibenarkan beroperasi beberapa langkah pencegahan sewajarnya akan dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
“Walaupun sudah menerima banyak mesej peribadi daripada pelanggan, tapi beberapa langkah pencegahan akan dilakukan bagi memastikan keadaan di premis terkawal.
“Antaranya, hanya pelanggan yang membuat temu janji saja dibenarkan masuk dan wajib memakai penutup mulut dan hidung. Selain itu, pelanggan tidak boleh membawa teman dan dinasihatkan untuk mencuci rambut di rumah terlebih dahulu bagi memendekkan masa perkhidmatan di premis.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berita ini memberi satu kelegaan kepada saya dan pekerja. Bagaimanapun, saya perlu memohon kebenaran secara dalam talian, jika dibenarkan barulah saya akan membukanya,” katanya kepada Harian Metro.
Fikry yang memiliki lima pekerja berkata, keselamatan mereka menjadi tanggungjawab dirinya dan akan memastikan mereka berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Walaupun kerajaan membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi, tapi janganlah kita ambil mudah dan mencuri peluang untuk keluar. Kita seharusnya mengutamakan keselamatan diri dalam menghadapi situasi getir ini.
“Saya akan pastikan setiap pekerja menggunakan cecair pembasmi kuman setiap kali selesai tugasan.
“Saya akan menasihatkan tempoh masa bagi setiap pelanggan tidak terlalu lama bagi menjaga jarak antara pelanggan dan tukang gunting rambut.
“Saya juga ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus menjaga diri dan mengamalkan penjarakan sosial supaya kita dapat mencegah daripada dijangkiti wabak ini,” katanya.
Semalam, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.