TEMPOH 36 tahun bergelar penyanyi adalah jangka masa yang cukup lama serta pastinya disulami dengan pelbagai suka dan duka.

Apa yang pasti, perjalanan kerjaya yang panjang ini adalah pengalaman terindah dalam lipatan sejarah hidup Ramlah Ram, 56, buat selama-lamanya.

“Saya sangat bersyukur dengan apa yang sudah dilalui hingga kini. Ia membuat saya berasa sangat beruntung kerana diberi peluang oleh Allah SWT merasainya.

“Selama lebih tiga dekad ini, saya melalui perjalanan panjang yang membawa pengalaman besar iaitu saya pernah hasilkan piring hitam, kemudian bertukar pada kaset, diikuti cakera padat (CD) dan sekarang lagu-lagu hanya distrim sahaja.

“Perubahan teknologi yang berkembang maju membuatkan perjalanan industri seni masa kini agak pantas. Hinggakan sekarang orang dah boleh ada saluran TV sendiri di platform digital,” katanya.

Menurut Ramlah, melihat kepada perkembangan itu juga dia semakin positif terhadap peradaban dunia yang berubah.

Katanya, ketika ini pun kehidupan harian dijalani dalam suasana norma baharu.

Berbicara mengenai kerjaya nyanyiannya, Ramlah berkata, dia gembira dapat bertahan sejak sekian lama dan bersyukur masih memiliki peminat yang setia memberi sokongan.

“Alhamdulillah, ini yang mampu saya ungkapkan. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong serta menerima lagu-lagu saya. Sebagai penyanyi, saya akan terus menyanyi. Saya juga sentiasa ada perancangan menghasilkan lagu baharu. Bagi saya, peluang melancarkan lagu adalah rezeki dan ia takkan sesekali dilepaskan. Cuma, kini situasi berbeza.

“Apapun, saya sepatutnya sudah melancarkan satu lagu baharu pada Disember, tahun lalu. Ia lagu hasil ciptaan Ajai yang saya tak nafikan karyanya memang mantap. Lagu pun sedap didengar,” katanya.

Namun, disebabkan penularan Covid-19 sejak tahun lalu, banyak perancangan diatur akhirnya terbatal. Malah, perancangan baharu untuk karier nyanyiannya harus dibuat semula.

“Sekarang pun keadaan masih belum pulih. Krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia ini tidak pulih lagi walaupun vaksin sudah ada. Apa yang diharapkan, kehadiran vaksin ini akan membantu kita semua.

“Acara hiburan untuk persembahan pentas pun, hampir setahun tidak dibenarkan. Kini, aktiviti nyanyian lebih tertumpu secara virtual atau maya di platform digital,” katanya.

Sepanjang pembabitan dalam dunia seni suara, Ramlah yang pernah dinobatkan Juara Bintang RTM 1985 popular dengan lagu seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Selamat Jalan Romeo dan Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi.