PERNAH merakamkan lagu duet berjudul Dengarkanlah pada 2000 bersama mendiang Glenn Fredly, penyanyi Amy Mastura akui sangat terkejut dan terkesan dengan pemergian rakannya itu.
Amy berkata, dia tidak pernah lupa mengikuti perkembangan karier penyanyi popular Indonesia itu dan turut berduka dengan kehilangan sebutir lagi bintang yang sangat disegani dalam arena muzik Nusantara.
“Saya memang sangat terkejut dengan pemergian Glenn. Saya mengenali beliau sewaktu merakamkan lagu duet kami itu 20 tahun lalu dan tidak sangka hayatnya sampai di sini saja.
“Saya juga adalah seorang peminat setianya dan sering mengikuti perkembangan karier muziknya. Glenn sememangnya seorang yang sangat berbakat besar, baik hati, dan sopan keperibadiannya.
“Seingat saya, kali terakhir berjumpa dengannya adala sewaktu dia hadir menjayakan satu persembahan di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam takziah kepada keluarga beliau,” katanya.
Sementara itu, media Indonesia melaporkan, adik Glenn iaitu Ucie Patty mendedahkan abangnya tidak pernah menceritakan kepada keluarga penyakit meningitis yang dideritanya itu.
Mendiang berusaha merahsiakannya agar tidak membuatkan keluarga panik.
“Memang abang tidak mahu bercerita mengenai sakitnya. Saya tahu dia menghidap meningitis dan keadaannya baik-baik saja selepas keluar masuk hospital.
“Bagaimanapun, pada minggu terakhir kesihatannya semakin terjejas. Dia memang sempat keluar dan sihat, bahkan sewaktu ulang tahun isterinya tempoh hari, dia sempat meraikan bersama dan keadaannya baik saja,” katanya.
Disebabkan kesihatannya semakin teruk, Glenn kemudian dikejarkan ke hospital pada Isnin lalu.
Semalam, industri muzik dikejutkan dengan pemergian penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu Januari itu. Glenn disahkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Jakarta Selatan akibat meningitis.
Menurut wakil keluarganya Mozes Latuihamalo, Glenn mulai merasa kesakitan sejak sebulan lalu sebelum memutuskan untuk menjalani rawatan di hospital. Penyanyi itu dikatakan boleh berinteraksi sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Glenn meninggalkan isterinya, Mutia Ayu dan seorang anak perempuan yang baru berusia dua bulan. Difahamkan Glenn akan dikebumikan di TPU Tanah Kusir, hari ini.