PELAKON Adam Shahz, 39, nekad akan terus berkhidmat secara sukarela bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Putrajaya sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat sepenuhnya.
Adam atau nama sebenar Nor Shah Azli Abdul Ghani berkata biarpun kini adalah fasa ketiga PKP dan kemudiannya Ramadan pula menjelma, dia tidak terfikir mahu berhenti menjadi sukarelawan.
“Selagi ada kudrat dan kekuatan diri yang Allah pinjamkan ini, saya akan terus menjadi sukarelawan APM untuk membantu masyarakat dan negara.
“Apatah lagi, dalam keadaan sukar sekarang yang mana negara masih belum bebas daripada penularan pandemik Covid-19 dan khidmat sukarelawan sangat diperlukan,” katanya kepada Harian Metro.
Adam yang sudah lali dengan sindiran segelintir individu mempersoalkan keputusannya menjadi sukarelawan berkata sekarang adalah masa yang tepat untuk masyarakat faham tugasan sukarelawan.
“Ia bukan satu tugas paksaan tetapi kami sebagai pihak berkhidmat menjadi sukarela melakukannya dengan keinginan hati dan keikhlasan sendiri.
“Saya puas dan gembira berkhidmat sebagai sukarelawan ketika ini kerana dapat membantu masyarakat serta negara. Saya tak peduli pun apa orang nak anggap dan kata.
“Pernah juga saya dapat mesej langsung (DM) di Instagram, ada individu mengatakan saya buat kerja sia-sia kerana tidak ada bayaran dan hanya susahkan diri. Jangan nanti, menyesal kemudian hari,’ katanya
Menurut Adam, jika tak mahu dia dan sukarelawan lain ditimpa susah, tolonglah duduk di rumah diam-diam dan jangan keluar, sekiranya tidak perlu.
Mengulas waktu kerjanya, Adam berkata dia perlu ada di bilik kawalan pada jam 8 pagi. Ujarnya, kerja sukarelawan ketika negara di landa musibah kini tidak menentu waktu balik ke rumah.
Ujarnya, dia pernah pulang ke rumah jam 1 pagi dan tak mengapa asalkan segala tanggungjawab pada hari berkenaan sudah dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Apapun, kami yang bertugas sebagai sukarelawan ini sedikit pun tidak mengharapkan pujian. Segala tanggungjawab yang kami galas, cuba dilakukan dengan jujur dan ikhlas.
“Walaupun kelompok kami (sukarelawan) jarang disebut sebagai antara barisan hadapan negara, tanggungjawab sebagai sekarela tetap dijalankan penuh komited,” katanya.
Menurut Adam, untuk tempoh PKP ini, dia perlu memastikan bantuan makanan dapat diterima semua petugas barisan hadapan yang lain di tempat pengagihan ditetapkan penghantaran dibuat.
Sehubungan itu, Adam sudah berkhidmat sebagai anggota APM sejak 2017 dan giat menyertai pelbagai misi mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan