Pelakon, Zarina Anjoulie Lavocah menuntut permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta daripada pelakon, Emelda Rose dan Amyza Aznan yang dikatakan menjatuhkan reputasinya di beberapa platform.

Peguamnya, Nurul Hafidzah Hassan, berkata, tindakan itu diambil kerana dua pelakon itu melakukan penyiaran komen-komen yang tidak tepat dan merosakkan reputasi Zarina.

“Zarina menuntut permintaan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta kerana menjatuhkan reputasinya melalui muat naik di media sosial dan komen-komen berbaur fitnah mengenai dirinya di Telegram dan Instagram. Dia juga menuntut sebanyak RM3 juta dari Amyza Aznan dan RM1 juta dari Emelda Rose.

“Surat-surat tuntutan itu dihantar hari ini melalui firma guaman NHA Advocates and Solicitors dan dia juga memohon kedua-dua individu itu untuk berhenti menulis dan menerbitkan apa-apa bentuk tulisan mengenai dirinya,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Hafidzah, pihak anak guamnya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya tidak menerima sebarang maklum balas dalam masa tujuh hari.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan jika surat tuntutan tersebut tidak dijawab dalam masa tujuh hari,” katanya.

Zarina digambarkan sebagai individu yang jahat dan tidak bermoral kepada orang ramai, dan mengalami trauma disebabkan insiden ini.

Emelda Rose dan Amyza Aznan tidak mempunyai sokongan fakta ketika mereka berulang kali menuduhnya dan menerbitkan muat naik dan komen-komen yang merujuk kepadanya sebagai seorang yang bertanggungjawab menimbulkan kebencian warganet terhadap mereka.

Hakikatnya, terdapat banyak komen yang dikeluarkan oleh mereka berdua yang memalukan Zarina Anjoulie melalui penyebutan nama (name calling) dan perbuatan memalukan badan (body shaming).

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan daripada Zarina masih belum berhasil.