LAGU Biru Malam duet dengan rapper dan komposer, Chubb-E memberikan satu lagi transisi baharu dalam kerjaya nyanyian Amir Masdi.

Selain melodi dan lirik ciptaan sepenuhnya Chubb-E itu dianggap sesuatu yang istimewa, Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi mengakui ia pengalaman baharu dapat bekerjasama dengan pemenang kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH tahun lalu itu.

Malah, di sebalik penghasilan single itu, siapa sangka Amir yang juga juara program realiti Akademi Fantasia 2016 adalah pilihan kedua bagi menyanyikan lagu itu.

Amir berkata, itu bukan menjadi masalah buat dirinya kerana apa yang penting adalah kepercayaan yang diberikan Chubb-E.

“Lagu ini pertama kali dirakam pada Disember tahun lalu. Kemudian, awal tahun tempoh hari kami buat rakaman semula. Sekali lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru-baru ini kami buat rakaman semula dari rumah. Sepatutnya ada bahagian saya kena buat sebelum PKP, tapi tidak dapat ke studio.

“Soal pilihan kedua, saya tak kisah pun. Sebab saya memang merancang nak buat lagu. Cuma belum ada yang sesuai. Apabila Chubb-E cakap dia tidak jadi memberikan lagu ini kepada penyanyi asal dan mahu kami berduet, tentu saja saya gembira.

“Saya pun tidak tanya sebab apa. Cuma, mungkin Chubb-E berasa selesa jika dia menyanyikan sendiri lagu ini,” katanya.

Walaupun ia satu kebetulan, Amir menyifatkan lagu Biru Malam yang dilancarkan sejak 22 Januari lalu itu rezeki buatnya.

Amir yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang bakal berlangsung 14 Mac ini berkata, dia pada awalnya merancang untuk menghasilkan single baharu selepas AJL nanti.

“Kiranya lagu Biru Malam ini adalah single pertama tahun ini. Ikutkan saya merancang nak keluarkan single selepas AJL. Sudah ada beberapa demo lagu, tapi belum buat pilihan.

“Insya-Allah, single selepas ini adalah hasil ciptaan sendiri. Saya berasakan sudah sampai waktu terbabit sebagai komposer. Tidak salah untuk mencuba dan dalam masa sama boleh melihat apa respons peminat muzik tempatan. Jika ada penambahbaikan saya boleh buat untuk lagu-lagu seterusnya.

“Sebenarnya, lagu ciptaan saya berjudul Yang Terbaik nyanyian Aris Sani iaitu peserta program Lagu Cinta Kita sudah dilancarkan,” katanya.

Berkongsi mengenai cabang baharu dalam karier muziknya itu, Amir berkata, dia berserah kepada rezeki Allah.

“Walaupun sudah ada beberapa lagu dalam koleksi, saya sebenarnya masih belajar untuk menjadi komposer yang baik. Apabila sudah lama menyanyi, saya pun kenal orang di studio. Dari situ saya mula belajar.

“Dalam bidang ini kita tidak tahu tuah dan rezeki macam mana. Kalau diizinkan Allah rezeki saya dalam bidang penciptaan lagu pula selepas ini, saya terima dan bersyukur,” katanya.