TEMPOH 12 tahun menceburi kerjaya seni sudah cukup buat penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail Sabri, 32, memahami asam garam kehidupan sebagai selebriti dikenali ramai.

Apatah lagi, status dirinya yang juga anak kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini begitu menjadi perhatian masyarakat.

Dafi berkata dia sudah lali asyik dikaitkan dengan status bapanya selaku ahli politik termasuk didakwa menumpang kesenangan keluarga.

“Tak dinafikan, ketika mula menceburi kerjaya seni pada 2008 dengan menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5) dahulu, saya pernah tertekan kerana sering dikaitkan dengan pengaruh bapa.

“Namun, sekarang dah tak kisah pun jika masih ada pihak yang nak mengata macam-macam terutama mengaitkan saya menumpang pengaruh bapa dan hidup dalam kemewahan keluarga,” katanya.

Dafi atau nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini berkata sebagai anak, dia bangga dengan populariti dan kejayaan diraih bapanya dalam bidang politik.

“Kecekalan papa dalam kerjaya politiknya menjadi inspirasi kepada saya untuk teruskan usaha mengorak langkah sejauh mungkin dalam kerjaya seni diminati.

“Saya mungkin tiada bakat dalam politik, tetapi peluang mengejar impian dan membina nama dalam kerjaya seni perlu saya lakukan dengan fokus serta komited,” katanya.

Kata Dafi, sejak beberapa tahun ini dia dapati bakat seninya lebih diketengahkan dalam bidang lakonan dengan berlakon drama dan teater. Antara drama yang melonjakkan nama Dafi ialah Dia Semanis Honey dan Klik! Pengantin Musim Salju.

Mengulas aktiviti nyanyiannya, Dafi berkata dia kini giat membuat perancangan semula untuk tampil dengan lagu baharu yang sesuai dengan kehendak pasaran dan pendengar muzik sekarang.

“Saya sebenarnya bercadang mahu aktif menyanyi semula dan muncul dengan lagu baharu yang ‘catchy’ didengar. Namun, apakan daya, kini penularan Covid-19 menyerang negara.

“Oleh itu, apa yang saya boleh buat kini adalah menukar strategi baharu. Bagaimanapun, saya akui memang rindu untuk

aktif semula dalam nyanyian,” katanya.

Sehubungan itu, Dafi berkata kini dia dalam proses mendapatkan lagu sesuai dengan vokal dan sedap didengar.

Dia turut bercadang bekerjasama dengan penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Alyph SleeQ.