ATAS inisiatif sendiri, pelakon Bella Dally dan suami, Arif Izuddin menjalankan program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) dengan menawarkan bantuan sanitasi percuma di lebih 30 masjid dan surau sekitar Lembah Klang sejak dua hari lalu.

Bella berkata, idea itu tercetus selepas suaminya mendapat projek berkenaan lalu memutuskan untuk membantu masyarakat dengan menggunakan kemudahan yang mereka ada.

“Saya dan suami sebenarnya sudah lama berfikir bagaimana untuk membantu masyarakat selain daripada menyumbangkan derma. Kebetulan, suami diberikan projek berkenaan dan kemudian putuskan kenapa tidak kami buat sanitasi percuma untuk masjid dan surau.

“Kami bercadang untuk lakukan sanitasi di lebih 30 masjid serta surau dan cuba habiskannya sebelum Ramadan bermula.

Suami saya memiliki semua peralatan untuk melakukan pembersihan itu. Tujuan kami habiskan sebelum Ramadan adalah disebabkan bukan mudah mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) itu serta mengendalikan mesin yang berat,” katanya.

Pelakon drama Adellea Sofea itu bersyukur apabila usaha mereka mendapat sambutan luar biasa. Namun, dia mengakui wujud kekangan menyebabkan mereka cuma memfokuskan untuk memberi bantuan di sekitar Lembah Klang.

“Saya berkongsi mengenai bantuan itu di laman sosial dan meminta orang ramai yang memerlukannya untuk memberi maklumat terperinci. Sambutannya memang sangat luar biasa dan kami terpaksa hadkan bantuan.

“Bagaimanapun, kami cuma mampu membantu sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor termasuklah di Klang, Bangi, Puchong, Kajang dan Sepang. Kami risau nanti pasukan kami yang turut disertai ramai sukarelawan tidak dapat habiskan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Pasukan mereka turut menanggung semua kos termasuklah bahan kimia serta peralatan yang digunakan.