SEPANJANG Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai ragam dan aktiviti dapat dilihat berdasarkan apa yang tular di media sosial.

 

Tidak ketinggalan, kebanyakan penyanyi dan selebriti mengambil pendekatan dengan membuat nyanyian secara langsung di Instagram, merakam lagu secara ‘cover version’ dan banyak lagi sebagai cara mendekati peminat.

 

Pendek kata, orang ramai yang duduk di rumah masih memerlukan hiburan daripada artis kesayangan mereka.

 

Atas inisiatif itu, syarikat rakaman 17Eleven Music tampil dengan idea segar apabila membawakan Konsert Rumah Kita Syurga Kita, esok, jam 3 petang di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

 

Menariknya, konsert dalam talian pertama yang dianjurkan syarikat rakaman tempatan itu menampilkan penyanyi popular tanah air seperti Khai Bahar dan Dinda Permata selain tiga penyanyi baharu iaitu Farisha Airish, The Mirza dan Kamelia Syermain.

KHAI Bahar
KHAI Bahar

 

Bagi Khai Bahar, konsert itu mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang tidak pernah putus membuat permintaan untuknya memuat naik nyanyian di Instagram dan YouTube.

 

“Saya puji usaha yang dibuat pihak 17Eleven Music. Ini bukan saja sesuatu yang baru, tapi menarik untuk dikembangkan selepas ini.

 

“Secara peribadi, saya suka dengan konsep dan pendekatan ini. Apatah lagi sejak PKP ini dilaksanakan penggunaan laman sosial meningkat.

 

“Saya pula, hampir setiap hari peminat membuat permintaan untuk saya ‘cover’ lagu. Jadi, apabila konsert ini dibuat, ia idea yang menyeronokkan,” katanya.

 

Pada konsert itu, Khai akan menyanyikan lagu Ratuku yang juga edaran 17Eleven Music.

DINDA Permata.
DINDA Permata.

 

Sependapat dengan Khai, Dinda Permata yang juga bintang Big Stage musim kedua berasa teruja untuk meghiburkan peminat secara dalam talian.

 

“Apabila konsep ini diperkenalkan dan dipersembahkan dalam bentuk konsert dari rumah, sudah tentu ia lebih menarik dan santai.

 

“Tapi, sebagai penyanyi saya harus profesional dan mempersembahkan lagu ini dengan baik. Sebab kita nak menghiburkan mereka.

 

“Pada konsert ini, saya akan menghiburkan penonton dengan lagu Syarat Bahagia. Lagu ini jarang dinyanyikan secara langsung selepas ia dilancarkan tempoh hari.

 

“Jadi, ini kesempatan terbaik untuk saya memperkenalkan lagi lagu ini. Tak sabar nak jumpa semua,” katanya.

 

Konsert berdurasi 30 minit itu turut mempersembahkan beberapa lagu lain antaranya Sakit nyanyian asal Achey yang akan dinyanyikan Farisha Irish, Kisah Cinta Kita nyanyian asal Hafiz Suip dibawakan The Mirza dan Khabar Aku (Kamelia Syermain).

 

Bahagian kedua Konsert Rumah Kita Syurga Kita akan menemui penonton pada minggu hadapan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan