SELEPAS muncul juara RapStar ERA baru-baru ini, pendatang baharu ASYRFNSIR atau Asyraf tidak menunggu lama untuk tampil dengan single pengenalan berjudul Virus.
Semestinya pertaruhan sulung ini mempunyai makna tersendiri buat Asyraf.
Turut berkerjasama dan mendapat tunjuk ajar daripada SonaOne, pastinya memberi kelebihan buat Asyraf.
Apatah lagi, SonaOne sendiri adalah figura hip hop paling relevan dan diakui keberkesanan kualiti karyanya di Malaysia ketika ini.
Kebetulan, Virus dilancarkan ketika seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19 sekarang.
Ironinya, Virus tidak menyentuh sama sekali mengenai penularan wabak itu.
Sebaliknya Asyraf mengadaptasi perkataan paling popular dan paling dekat di hati semua dan popular itu. Menurutnya, dia cuma menjadikan perkataan itu sebagai lambang tepat menggambarkan dirinya.
“Mungkin disebabkan situasi terkini, ramai pendengar akan menganggap lagu ini mengenai Covid-19, tapi sebenarnya virus dimaksudkan itu adalah saya.
“Saya bercita-cita untuk memastikan karya yang dihasilkan sampai dan ‘menjangkiti’ semua orang kerana saya yakin dan percaya ada sesuatu yang unik dan istimewa dalam muzik saya serta boleh membuat orang ketagih dengan lagu-lagu saya terutama dari segi permainan kata-kata.
“Banyak rujukan saya buat untuk menulis lirik ini termasuklah menyentuh aspek menjaga kebersihan, kuman dan sebagainya. Apapun, tafsiran sebenarnya adalah menyentuh mengenai karakter saya sebagai penyanyi rap, katanya.
Menyalurkan kisah peribadinya dalam lirik Virus, Asyraf juga memutuskan untuk lebih terbuka mengenai dirinya dalam penghasilan lagu ini.
Baginya, itulah kekuatan sebenar lagu ini di mana liriknya yang retorik serta kedalaman mesej itu sendiri.
“‘Suara besar dalam stereo, ASYRFNSIR on the radio. Saya rasa bahagian ini paling kuat disebabkan baris ini adalah tafsiran kerjaya rap saya.
“Sambutan saya terima kurang sebelum ini dan ada juga yang skeptikal dan tidak mengambil serius hasil karya saya.
“Hasil konsistensi, saya teruskan perjuangan dan percaya peluang lebih besar menanti di hadapan. Kemenangan pada RapStar ERA itu ternyata membuka jalan yang nyata untuk saya realisasikan angan-angan itu.
“Dengan pelancaran single ini, suara besar saya kini bakal berkumandang di stesen radio mahupun pembesar suara masing-masing. Pencapaian ini sangat manis untuk dikenang sepanjang tahun 2020, katanya.
Bercerita mengenai pembikinan lagu ini, Asyraf berkata, dia amat berbesar hati dengan bantuan SonaOne dan mengakui sentuhan komposer itu menjadikan hasil akhir Virus lebih sempurna.
“Pemikiran SonaOne sememangnya berada di tahap tersendiri. Dalam 20 minit pertama dia mampu siapkan rangka asas pada iramanya dan lagu ini berjaya siap sehari saja dalam masa tujuh jam.
“Walaupun begitu, setiap masa, dia masih boleh tambah instrumen mahupun bunyi baru dalam lagu ini. Saya pun tidak pasti bagaimana dia boleh lakukannya. Kalau dengar setiap bahagian dari intro, korus dan outro, elemennya berbeza-beza, katanya.Secara keseluruhannya, Asyraf mengakui sangat berpuas hati serta berbangga dengan hasil akhir Virus.
Dia juga berharap karya ini bakal memikat pendengar sebagaimana dirinya turut larut dengan kualiti serta keberkesanannya.
“Saya memang sangat puas kerana dari segi produksi, lagu ini memang berkualiti tinggi dengan bantuan kepakaran SonaOne.
“Berbaloi habiskan masa berjam-jam dalam studio. Saya harap semua pendengar, tak kisah penggemar hip hop atau tidak, agar lagu ini akan melekat serta-merta di kepala anda, katanya.