JIKA sebelum ini, nama dan wajah Hawa Rizwan Ahmad Redzuan cukup dikenali sebagai pembaca berita di TV3, kini dia melangkah setapak lagi dan menjadi antara wajah pengisi program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI).
Bermula 3 April lalu, Hawa bergandingan bersama Fiza Sabjahan dan Uyaina Arshad mengendalikan program popular yang mula ditayangkan secara langsung sejak 1 Januari 2001 itu.
Bagi Hawa, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan kerana tugas sebagai pengacara WHI adalah salah satu cita-citanya.
“Sejak kecil, saya memang menyimpan impian untuk menjadi pengacara dan salah satu program yang saya impikan adalah WHI. Jadi, ini umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan buat saya,” katanya.
Hawa ketika ditemu bual berkongsi mengenai cabaran beralih dari tugas sebagai pembaca berita kepada pengacara.
“Ia adalah satu transisi yang mencabar buat saya. Kalau sebagai pembaca berita, faktanya sudah tersedia dan kita kena rangkulkan semuanya dalam masa satu jam
“Berbeza dengan WHI, semuanya membabitkan idea kita sendiri sebagai pengacara. Paling penting adalah keserasian dengan pengacara gandingan serta tetamu jemputan,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai tugasan barunya itu, Hawa berkata, dia memerlukan sedikit masa untuk memahami pergerakan dan konsep program itu.
“Untuk mengadaptasikan diri daripada pembaca berita kepada pengacara tidaklah terlalu cepat kerana saya perlu memahami dengan jelas mengenai program itu dan bagaimana perjalanan produksinya.
“WHI sudah cukup dikenali sebagai program yang mengangkat hal wanita dan pada masa sama, saya sebagai pengacara perlu menjadi diri sendiri supaya tidak kelihatan kekok,” katanya.
Ditanya mengenai identitinya sebagai salah seorang pengacara WHI, Hawa berkata, dia mewakili generasi muda dalam lingkungan usia 20-an.
“Bagi saya, setiap orang ada identitinya yang tersendiri. Apabila saya berbincang dengan kak Fiza Sabjahan, dia meminta saya untuk mewakili generasi muda dalam kalangan usia saya iaitu 20-an.
“Jadi, kebanyakan soalan yang saya ajukan kepada tetamu jemputan adalah berkaitan dengan generasi saya dan pada masa sama, dapat juga saya kaitkan dengan pengalaman saya sendiri,” katanya.
Menjadikan program The Oprah Winfrey Show sebagai salah satu rujukannya, Hawa menganggap WHI adalah antara tempat terpenting untuknya mencari ilmu baharu.
“Menjadi pengacara tak hanya membabitkan pengacara, tetamu jemputan dan isu yang diperbincangkan sahaja. Pada masa sama, ia juga umpama tempat untuk kita menimba ilmu baru.
“Dari setiap informasi yang kita dapat daripada tetamu jemputan sedikit sebanyak boleh digunakan dan diterapkan dalam kehidupan,” katanya.
Ditanya sama ada dia merancang untuk meneruskan langkah sebagai pengacara dan berhenti daripada bergelar pembaca berita, Hawa berkata, dia masih mahu mengendalikan kedua-dua tanggungjawabnya itu.
“Setakat ini, saya belum ada sebarang perancangan untuk berhenti sebagai pembaca berita kerana saya sangat sukakan kedua-dua bidang ini. Yang pasti, saya nak mengenali WHI dan seluruh keluarga produksi program ini dengan lebih mendalam lagi,” katanya.
Selain Hawa, seorang lagi pengacara baru yang turut serta dalam keluarga besar WHI adalah Fatin Hamimah di samping pengacara sedia ada seperti Fiza, Uyaina, Hazrena Kassim, Fahrin Ahmad dan Sugeeta.