SUAMi penyanyi Lufya Omar iaitu Dr Che Hafiz tampil menjelaskan dakwaan dibuat isterinya yang mengatakan dia mengabai dan tidak mahu berjumpa anak mereka, Laana Haura, berusia dua tahun adalah tidak benar.

Menurut Dr Che Hafiz atau nama sebenar Che Muhammad Hafiz Che Baharum, tidak ada bapa yang enggan berjumpa anaknya, apa lagi darah daging sendiri.

“Dakwaan dibuat Lufya terhadap saya itu adalah tidak benar sama sekali. Saya menasihatkan dia (Lufya) supaya lebih elok di bulan Ramadan yang mulia ini untuk fokus kepada perkara meningkatkan amal ibadah.

“Lebih baik mendekatkan diri kita dengan Yang Maha Esa daripada membuat cerita- cerita tidak benar terhadap saya yang boleh menimbulkan spekulasi yang salah daripada masyarkat,” katanya kepada Harian Metro

Dr Che Hafiz berkata jika perkara didakwa Lufya adalah benar kenapa tidak selesai dengan cara yang lebih wajar seperti terus berhubung dengannya berikutan perkara sebegitu adalah berbentuk hal peribadi.

“Saya sebolehnya tidak mahu mengulas panjang akan tuduhan yang tidak benar itu kerana banyak lagi perkara penting yang perlu saya beri tumpuan.

“Ketika ini, saya perlu fokus pada tugasan yang membabitkan peranan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang harus bersatu padu dalam isu berkaitan peperangan dengan musuh tidak kelihatan iaitu pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Che Hafiz berkata dia tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk warganet kerana mereka tidak tahu perkara yang sebenar terjadi melainkan sesama keluarga sahaja yang mengetahuinya.

Pada Jumaat lalu, Lufya, 35, meluahkan kepada sebuah portal hiburan, perasaan ralatnya terhadap Dr Che Hafiz kerana sudah hampir setahun tidak menjenguk anak mereka.

Dalam pendedahan itu, Lufya berkata dia bukan mahu mengeruhkan keadaan, tetapi menjelaskan kedudukan sebenar kerana ada dakwaan mengatakan suaminya tidak diizinkan bertemu anak.

Menurut Lufya, kali terakhir dia berkomunikasi dengan suami, Dr Che Hafiz pada November tahun lalu untuk menjemputnya hadir pada majlis hari lahir Laana yang kedua.

Namun, katanya suami tidak datang kerana sibuk bekerja. Malah, Lufya memberitahu dia tiada masalah memberi izin suami berjumpa anak mereka.

Pergolakan rumah tangga Lufya dan suami mula tercetus pada Oktober 2018. Pasangan itu berkahwin pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan. Kini, kes permohonan cerai masih tergantung