“API cepat menyambar tangan dan muka saya. Letupan kuat ketika itu turut mengejutkan isteri dan anak-anak,” kata penyanyi XPDC, Ali, 52, yang melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada petang 26 Mac lalu, Ali sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang sebelum api menyambar bahagian muka dan tangan apabila dia menggunakan petrol.

“Saya kemudian dikejarkan ke klinik tapi mereka menyarankan saya ke hospital kerana kecederaan yang dialami sekitar 30 peratus,” katanya.

Menurut Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, perkara yang paling diperlukan ketika ini ialah ubat untuk merawat serta memulihkan luka akibat kebakaran.

“Saya kena gunakan krim yang cepat bertindak untuk memulihkan luka dan menghilangkan parut. Saya amat berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak dapat sumbangkan ubat atau beri petua untuk tujuan ini. Saya juga masih mengalami kesakitan di kedua-dua belah tangan,” katanya yang memberitahu kulit mukanya kini mula menggelupas agak teruk.

Dalam pada itu, penderitaan Ali mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Dr Daroyah Alwi yang hadir menyerahkan bantuan bagi meringankan bebannya, semalam.

Daroyah juga akan membantu Ali mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan selain kehilangan pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak terkecuali, Konsortium Irama (Irama) dan Muzikal Malaysia turut bergabung membantu Ali apabila mewujudkan Tabung Kecemasan Kemalangan Penggiat Seni Muzik.

Ali berkata, semakin banyak pihak mula menghubunginya untuk bertanyakan khabar sebaik mengetahui perkara ini.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka yang membantu serta Harian Metro kerana menyiarkan berita ini semalam. Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu dan terus menghubungi saya untuk mendapatkan cerita lengkap. Dalam situasi sekarang, mereka amat bersimpati dan cuba membantu sedaya yang mampu,” kata bapa kepada lima anak ini.

Sebelum ini, Ali pernah memohon bantuan daripada pihak LZS namun permohonannya ditolak.

Terdahulu, ada pihak mendakwa Ali dimasukkan ke hospital akibat positif Covid-19 kononnya dia antara jemaah Tabligh yang menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac lalu.

“Saya tak menghadiri perhimpunan itu kerana ketika itu saya sedang menunaikan umrah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan