IMPIAN pelawak Achey dan isteri untuk menimang cahaya mata sendiri tidak pernah padam dan mereka sentiasa berusaha mencari jalan terbaik.

Achey berkata, dia mahu menjalani rawatan kesuburan menerusi proses ujian persenyawaan in vitro (IVF) bersama isteri, Nor Hasanah Yahaya.

Bagaimanapun, hasrat itu belum tertunai sejak mula dirancang pada penghujung tahun lalu.

“Awal bulan Disember tahun lalu, kami merancang nak buat IVF. Cuma memikirkan mungkin banyak program komedi pada hujung tahun, perancangan itu agak susah kerana nak buat proses itu tak boleh ada rasa tekanan atau stress.

“Sepatutnya Jun lalu, tapi kerana tuntutan kerja dan wabak Covid-19 pula. Insya-Allah mungkin dalam tahun ini juga, kalau boleh secepat mungkin. Isteri pun kalau boleh nak anak dari rahim sendiri juga ,” katanya.

Menurut Achey, selepas mengambil anak angkat, Tiara Zinnirah pada Mei 2018 yang kini berusia dua tahun, dia dan isteri memang mempunyai perancangan untuk menambah anak.

Pada masa sama, katanya, dia tidak kisah sekiranya ada rezeki untuk mengambil anak angkat lagi.

“Kalau dapat seorang anak angkat lagi saya ambil sahajalah dulu. Tak kisah sebenarnya kalau tambah anak angkat lagi. Bila dah ada seorang jadi seronok. Cuma, kalau boleh nak puas jaga sampai umurnya tiga tahun. Mungkin tambah seorang anak lelaki pula.

“Cuma, sebelum nak ambil tu, saya kena fikirkan dalam ahli keluarga saya ada tak yang boleh jadi ibu susuan untuknya,” katanya.

Sebelum ini, Achey pernah memaklumkan isterinya mengalami masalah dalam memberi penyusuan badan kepada anak angkatnya.

ISTERI pasang impian mahu anak dari rahim sendiri.
ISTERI pasang impian mahu anak dari rahim sendiri.

Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011.