TIADA apa yang mampu diungkap seorang isteri selain perasaan rindu tak bertepi buat suami tercinta yang sudah dijemput Yang Maha Esa.
Itulah yang dirasakan Nor Hidayah Mohd Ali, 28, balu Allahyarham Abam Bocey pada Ramadan ini yang disambut bersama anak tunggal mereka, Syed Uthman Hamzah Al Juffrey yang kini berusia 11 bulan.
Nor Hidayah menerusi perkongsian video berdurasi dua minit di IGTV memaparkan biskut coklat air tangannya selain turut berkongsi kenangan berbual dengan arwah suami yang mengajaknya berniaga ketika Ramadan, tahun lalu.
Namun, ketika itu Nor Hidayah menolak kerana anak masih kecil dan tujuan arwah Abam mengajak isterinya berniaga untuk bersedekah dan bukan mencari keuntungan.
Kini, Nor Hidayah sudah sedia berniaga dan mula mengambil tempahan untuk biskut Kasih Chocolate buatannya kepada orang ramai yang berminat untuk sambutan Aidilfitri nanti.
“Abang, saya dah buat kuih untuk berniaga dan letak nama Kasih Chocolate sempena lagu Si Kasih yang abang pernah kata dulu sikit saja orang dengar. Sekarang, lagu Si Kasih dah ramai yang dengar dan betul cakap abang, seronok sangat bagi orang makan sambil bersedekah. Saya takkan permah lupa kata-kata abang. Saya akan simpan kenangan kita dan segala memori bersama tersemat dalam hati,” tulisnya di Instagram.
Nor Hidayah juga berjanji akan menjaga dan membimbing anak mereka sebaik mungkin.
Video berkenan dengan latar lagu Si Kasih itu sudah ditonton lebih 100,000 kali dan menerima lebih 190 komen daripada warganet.
Rata-rata komen ditulis itu sangat positif dan menjurus kata semangat buat Nor Hidayah. Tidak terkecuali, ramai juga yang memberi sokongan dengan membuat tempahan biskut Kasih Chocolate.
Nor Hidayah dan Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan, 32, mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurnia seorang cahaya mata.
Pada 10 Februari lalu, Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia secara mengejut di kediamannya dan ketika pengebumian lebih 2,000 orang mengiringi jenazahnya dari masjid hingga ke tanah perkuburan.
Tamat