KEPUTUSAN kerajaan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi satu perkara yang memerlukan pengorbanan banyak pihak.

Langkah kerajaan itu tentunya bagi memastikan keselamatan rakyat. Begitu juga dengan rakyat yang perlu patuh dengan tidak bergerak secara bebas malah ada yang terpaksa bekerja dari rumah.

Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara, Erra Fazira, dia juga mengambil pendekatan sama dengan bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP.

“Sepanjang PKP ini, banyak perkara terpaksa dihentikan operasi. Kalau anda menonton program Mingguan Wanita di kaca TV, pada minggu pertama dan kedua PKP, ia masih bersiaran seperti biasa.

“Namun, masuk minggu ketiga, pihak produksi menghentikan tayangan program ini. Buat masa sekarang, saya dimaklumkan ia akan dihentikan sementara waktu sehingga penghujung April ini,” katanya.

Bercerita mengenai kerja yang tergendala, Erra yang juga pengacara program Mingguan Wanita berkata, ia untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap yang terbabit.

“Ini adalah antara pengorbanan yang kita semua (produksi) lakukan. Apa yang boleh dikatakan, tahap keselamatan daripada pihak berkuasa juga semakin ketat.

“Jadi, sama-samalah kita bantu mereka untuk pastikan penularan wabak Covid-19 ini tidak terus menular dengan lebih parah. Kalau boleh, biarlah semuanya berakhir sebelum Ramadan menjelma,” katanya.

Bercerita mengenai aktiviti sepanjang berada di rumah, Erra berkongsi beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di dalam rumah.

“Satu aktiviti yang menjadi kegemaran saya sekarang adalah memasak dan asah semula kemampuan untuk membakar roti.

“Selain itu, satu lagi kemahiran yang saya ‘aktifkan’ semula adalah melukis yang sebelum ini menjadi antara hobi saya,” katanya.

Menurut Erra, berkurung di dalam rumah tidak menjadi masalah besar buat dirinya kerana dia adalah jenis yang suka berada di rumah.

“Saya memang suka berada di rumah. Kalau hari cuti atau waktu terluang, saya banyak habiskan masa di rumah. Jadi, apabila tempoh PKP ini dilaksanakan, saya tak ‘mati kutu’.

“Lagi satu, di rumah ada beberapa permainan yang memang sedia ada seperti lego dan susun atur puzzle. Jadi, sedikit sebanyak aktiviti ini dapat menghilangkan bosan saya, katanya.

Sama seperti orang lain, Erra juga sentiasa mendoakan agar krisis wabak pandemik ini dapat diselesaikan secepat mungkin bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.