Kuala Lumpur: “Tidak semua yang dikongsikan di media sosial seperti membeli kereta baru atau rumah baru itu untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya, kita yang tengok kena berfikir positif dan bersangka baik,” kata penyanyi dan pelakon, Syura Badron.

Ia sebagai mengulas video berdurasi 44 saat dimuatnaik Syura, 34, di TikTok dan ditujukan kepada sesiapa yang terasa.

Katanya, kepada mereka yang terasa atau ‘sentap’ itu, baguslah.

“Video ini sebagai peringatan bersama supaya kita tidak mudah atau cepat ‘menjatuh hukum’ terhadap tindakan orang lain yang bersikap terbuka membuat apa sahaja perkongsian mereka di media sosial.

“Kita yang mengikuti seseorang itu di media sosial janganlah cepat buruk sangka dan membuat andaian sendiri bahawa apa yang dikongsi sama ada perjalanan kejayaan dalam hidup dipaparkannya adalah mahu menunjuk-nunjuk.

“Sekarang sudah tahun 2021, jadi tiba masanya kita yang mempunyai fikiran negatif dan cepat buruk sangka mengubah cara pemikiran. Ubah perlahan-lahan cara berfikir itu yang akhirnya akan membersihkan hati,” katanya.

Menurut Syura yang juga ibu tunggal tiga anak, pandanglah semua kejayaan orang lain itu sebagai satu inspirasi dan bukan dengan perasaan dengki atau iri hati.

Katanya, sejak aktif dengan perniagaan kosmetik diusahakan, dia sering mengingatkan diri supaya terus bersabar dan tidak begitu mempedulikan segala cakap -cakap orang mengenai dirinya.

Terdahulu, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron baru-baru ini dikaitkan dengan ‘sugar daddy’ yang didakwa membantunya dalam menjalankan perniagaan.

Mengikut perkongsian tangkap layar mesej dikongsikan Syura di Instagram, dia ditanya individu tidak dikenali di media sosial apakah dirinya ‘ditaja’ seseorang sehingga mampu mengusahakan perniagaan sendiri.

Sedih dengan fitnah itu yang membuatkan dirinya dihentam segelintir netizen, Syura berkata, dia tidak perlukan ‘sugar daddy’ untuk membuka perniagaan kerana segala modal itu daripada hasil wang simpanannya dan punca yang halal.