KETIKA ini, peminat tegar drama Korea Selatan rata-rata menantikan siri The King: Eternal
Monarch ditayangkan. Hakikatnya, penantian itu sudah bermula sejak pengumuman beberapa nama pelakon dibuat tidak lama dulu.
Dibintangi pelakon popular dan tampan, Lee Min-ho bergandingan dengan Kim Go-eun yang popular menerusi siri Goblin sebagai tunjang utama. Semestinya, gandingan itu membuatkan penonton lebih teruja. Penantian mereka berakhir apabila siri berkenaan mula ditayangkan di platform penstriman Netflix.
Bukan saja peminat, bahkan keseluruhan produksi termasuk pelakon tidak sabar melihat sambutan siri itu. Menerusi sidang media baru-baru ini, Lee Min-ho berkongsi mengenai kekeliruannya terhadap naskhah itu pada mulanya.
Dia bahkan mempersiapkan dirinya dengan kajian yang mendalam demi siri itu.
“Sewaktu saya mula-mula membaca skripnya, banyak kali saya keliru dengan bahagian awal skrip itu. Saya keliru mana bahagian mengenai keselarian dua kejadian dunia yang berlaku dalam cerita itu.
“Bagaimanapun, apabila menontonnya sendiri di skrin menjadikan ia jauh lebih mudah untuk difahami. Saya juga turut membaca buku daripada ahli matematik dan mendengar kuliah daripada pakar fizik,” katanya yang melakonkan watak Maharaja Lee Gon.
Tidak dinafikan, Lee Min-ho adalah pelakon yang tidak pernah gagal meninggalkan impak dalam drama lakonannya.
Namanya saja sudah mampu menarik perhatian penonton untuk mengikuti mana-mana dramanya.
Begitu juga dengan keserasiannya dengan pelakon wanita digandingkan. Pelakon itu sentiasa cemerlang dari sudut itu dan sebenarnya kelebihan itu menjadi kekuatannya untuk berada di kelas tersendiri.
Bercerita mengenai gandingan dengan Kim Go-eun, Lee Min-ho menyifatkan pelakon berkenaan mempunyai anugerah tersendiri terutama membabitkan emosi. Katanya, dia kagum dengan cara permainan ekspresi pasangannya itu.
“Kekuatan Kim Go-eun adalah ekspresinya terutama pada bahagian mata mampu berubah sekelip mata. Ada saat ia kelihatan sangat tegang dan tiba-tiba menjadi naif secara tidak disedari.
“Persembahannya menerusi projek lain sebelum ini seperti dalam Chinatown dan Goblin juga sudah terlalu besar. Baru saya faham kini kenapa selepas melihat sendiri kekuatannya itu dalam ekspresi,” katanya.
Sementara itu, Kim Go-eun yang menjayakan watak detektif Jung Tae-eul dan Luna pula mengakui tidak susah mencipta keserasian dengan Lee Min-ho.
Baginya, pelakon senior terbabit banyak membantunya dari pelbagai sudut.
“Dia memang senior, tapi memiliki banyak personaliti yang bagus. Selalunya, pada awal-awal projek, tempoh itu pasti akan kekok sedikit.
“Bagaimanapun, saya tidak rasa hal itu dan berasakan kami terus menjadi rapat serta-merta.
“Saya juga banyak mendapat bantuan serta timbang rasa daripadanya. Ia menjadikan kami lebih senang untuk mendapat keserasian,” katanya.
Berkongsi mengenai kekuatan drama itu pula, Kim Go-eun berkata, momentum drama itu akan bertambah lebih menarik pada setiap episod.
Banyak aspek yang tidak disangka penonton dan mereka perlu memberi fokus penuh.
“Ini adalah sebuah drama yang akan menjadi menarik mengikut urutan episod. Jadi, sangat penting untuk mengikutinya daripada mula.
“Banyak watak yang memiliki dua personaliti dan penonton perlu memberi perhatian kepada aspek ini,” katanya.
The King: Eternal Monarch mengisahkan dua alam semesta yang selari, iaitu perlembagaan beraja lama dengan yang terkini di Korea Selatan.
Maharaja Lee Gon yang bertarung dengan iblis cuba menutup pintu antara dua dunia.