PELAKON, Mawar Rashid tidak menjangka video transformasi solekan watak Professor dalam siri Money Heist yang dimuat naik di Instagram mendapat reaksi luar biasa.

Mawar mengakui dia sangat gembira percubaan sulungnya itu menjadi apabila bakatnya dalam bidang solekan medapat pujian ramai.

“Tidak menjangka video menjadi perhatian. Rasa sangat berbaloi pula tidak tidur lebih lima jam buat transformasi solekan itu.

“Saya memang sangat minat bidang ini sejak kecil lagi dan sudah lama teringin buat video berbentuk solekan transformasi. Untuk rupa watak Profesor itu, saya ambil tiga hari buat kajian terlebih dulu.

“Meskipun tidaklah sempurna mana, namun saya cukup terharu apabila ramai suka dan memuji. Saya berharap akan dapat buat lebih banyak video lagi selepas ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, Mawar mengakui bukan mudah mendapat keyakinan untuk melakukan transformasi solekan sebegitu.

“Ini pertama kali saya lakukan dengan bersungguh-sungguh. Ternyata ia menuntut fokus yang sangat tinggi selain mengambil masa berjam lamanya.

“Kajian yang sangat teliti juga perlu dibuat untuk memastikan kita tidak terlepas pandang butiran penting. Setiap butiran pada rupa yang nak dibuat perlu ditiru bulat-bulat,” katanya.

Video transformasi yang dikongsikan Mawar itu mendapat jumlah tontonan lebih 80,600, meraih lebih 18,400 tanda suka dan lebih 360 komen dalam tempoh sejam selepas dimuat naik.