TIADA apa yang lebih menggembirakan hati pasangan suami isteri selain dikurniakan cahaya mata. Malah, kehadiran anak itu, sering dianggap pelengkap kebahagiaan dalam rumah tangga.

Malah, dari aspek jantina pula selalunya tidak terlalu diberi penekanan khususnya. Jika dianugerahkan anak lelaki atau perempuan, sebagai ibu dan bapa baharu menerima dengan hati terbuka.

Ia berikutan, apa yang lebih diutamakan ialah bayi yang lahir itu sihat dan tidak berhadapan sebarang masalah. Sesungguhnya, setiap ibu bapa mendoakan kesihatan yang baik buat anaknya.

Bagi pasangan pelakon, Shah Iskandar dan isteri, Siti Sarah Mohd Noor sangat bersyukur apabila penantian hampir empat tahun untuk bergelar sebagai ibu dan bapa berakhir.

Bakat seni artis kelahiran Singapura berkenaan baru-baru ini mengumumkan isterinya selamat melahirkan bayi lelaki sulung mereka di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor, pada minggu lalu.

Merakam memori indah pada tarikh istimewa, 10.10.2020, Siti Sarah selamat melahirkan bayi yang diberi nama, Yusuf Zulkarnaen, secara pembedahan pada jam 2.02 petang dengan berat bayi, 3.66 kilogram.

“Isteri saya, Siti Sarah selamat melahirkan bayi sulung kami yang sudah lama ditunggu-tunggu selama ini. Syukur kehadiran Yusuf Zulkarnaen menjadi pelengkap kebahagiaan kami

“Alhamdulillah, proses kelahiran bayi pun berjalan lancar. Ditambah, semua petugas di hospital terbabit sangat membantu dan menjadikan perjalanan kami sangat menyenangkan.

SHAH Iskandar mendukung Yusuf Zulkarnaen.
SHAH Iskandar mendukung Yusuf Zulkarnaen.

“Jadi, saya juga membuat keputusan untuk berehat selama tujuh hari dari media sosial untuk memberi perhatian kepada isteri dan pengurusan anak,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Shah berkongsi berita gembira bahawa dirinya kini sudah bergelar bapa dengan memuat naik foto bersama Yusof selepas seminggu kelahiran anaknya itu.

Tambah Shah lagi, tiada ungkapan yang mampu diluahkan kepada isteri yang melakukan pengorbanan sangat besar ketika melahirkan cahaya mata mereka.

Shah turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga mentua dan berharap dapat membawa anak dan isterinya pulang ke Singapura untuk bertemu dengan keluarganya di sana pula.

“Ucapan terima kasih tidak akan pernah cukup dengan segala pengorbanan awak lakukan dan melahirkan bayi yang sangat comel ini.

“Kepada keluarga mentua, terutama mak, abah, saya berterima kasih atas segala sokongan dan kasih sayang yang kalian berikan.

“Kepada keluarga saya di Singapura, terima kasih atas semua hadiah untuk anak saya dan sokongan.

“Saya janji akan bawa bayi dan isteri pulang selepas semuanya dalam keadaan baik. Kepada yang menyokong karier saya, tentunya sangat bermakna,” katanya.

Sehubungan itu, Shah dan Siti Sarah yang juga seorang ahli perniagaan mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2016.