Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Siti Nurhaliza mengambil inisiatif untuk membantu pejuang barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Siti berkata, sebagai permulaan, pihaknya iaitu Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. mensasarkan pengumpulan dana untuk keperluan segera dalam kategori Peduli sebanyak RM50,000.

“Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan serta banyak jenis bantuan akan disalurkan.

“Kami yakin, bantuan kita semua akan dapat membantu perjuangan kita menentang Covid-19 sekarang,” katanya.

Menurut penyanyi 7 Nasihat itu, objektif penubuhan dana itu secara ringkasnya terdiri daripada Peduli, Kemanusiaan dan Prihatin.

“Secara ringkasnya, dana ini dinamakan Dana P.K.P Siti Nurhaliza. Dana ini objektifnya dibahagikan mengikut kategori iaitu Peduli yang mana membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat perubatan terbabit yang menangani wabak ini. Bantuan ini akan disalurkan seberapa segera apabila dana mencukupi bagi penyediaan PPE, penutup hidung dan mulut, sarung tangan serta peralatan lain.

“Kedua ialah Kemanusiaan. Ia bagi membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan selain turut mempunyai anggota keluarga golongan kelainan upaya (OKU) atau penyakit kronik.

“Ketiga pula, Prihatin yang mana bantuan khusus sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan yang tidak berkemampuan serta badan kebajikan,” katanya.

Bagi memberi gambaran lebih jelas dan perkongsian lanjut mengenai dana itu, Siti bakal menjayakan sesi siaran langsung di saluran YouTube Siti Official Video pada 19 April ini, jam 2.30 petang.

Penonton di YouTube boleh menderma dengan cara membuat imbasan Kod QR (QR Code) dan Siti akan menghiburkan mereka dengan nyanyian lagu-lagu pilihannya.

Selain itu, platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni untuk menderma di samping memudahkan orang ramai untuk menyumbang dalam talian tanpa ragu-ragu.

Bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk menyumbang, anda boleh layari laman web rasmi Kitafund di www.kitafund.com dan pilih kempen ‘Dana P. K. P Siti Nurhaliza’. Bagi memudahkan pencarian kempen, anda juga boleh memasukkan kata kunci ‘siti nurhaliza’.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan