Corona De Vries, 8, begitu trauma dengan keadaan yang menimpa dirinya dan hampir patah semangat sejak dikaitkan dengan virus yang kini mengancam dunia.
Namun berita tentang bintang Hollywwod Tom Hanks yang ketika itu menjalani rawatan pemulihan COVID-19 di Gold Coast, Queensland mengubah segalanya.
Ibu bapa De Vries memujuk anak mereka untuk menghantar surat kepada idolanya itu.
De Vries merupakan peminat tegar filem "Toy Story" yang dibintangi Hanks.
Dalam surat itu, De Vries meluahkan kesedihannya apabila diejek rakan-rakan sekolah.
“Saya suka nama ini, tetapi saya sering diejek dan dipanggil 'koronavirus' oleh rakan-rakan di sekolah,” katanya.
"Saya berasa sedih dan marah apabila diejek begitu,” luah De Vries kepada Hanks.
BACA: Tom Hanks, isteri dijangkiti COVID-19
Tidak mengharapkan balasan, namun apa yang mengejutkan De Vries adalah apabila menerima jawapan balas daripada Hanks.
Rintihan De Vries dibalas dengan kata-kata yang menghiburkan oleh bintang filem itu.
Hanks turut memuji keunikan pada nama yang dimiliki kanak-kanak kelahiran Australia itu.
“Kamu seorang sahaja yang saya kenali bernama Corona.
“Ia bagaikan roda di keliling matahari yang menyerupai mahkota,” tulis Hanks.
Lebih menarik lagi, Hanks turut menghadiahkan kanak-kanak itu sebuah mesin taip vintaj berjenama Corona.
Menurut Hanks, mesin taip itu dibawa olehnya ke Australia untuk bercuti sebelum disahkan positif dengan wabak COVID-19.
“Mungkin mesin taip ini sesuai untuk kamu."
Namun, apa yang lebih diingati ialah kata-kata akhir Hanks yang mengubat duka De Vries.
“P.S, you got a friend in ME!”
Bintang filem Forrest Gump itu turut meminta De Vries untuk membalas suratnya setelah selesai belajar cara menggunakan mesin taip tersebut.
Menerusi laman instagram beliau, Hanks kini tampil lebih sihat apabila sudah menjalani rawatan pemulihan setelah lebih dua minggu dikuarantin bersama isterinya, Rita Hanks.