Selepas tampil dengan lagu Semesta ciptaan komposer Omar K dan lirik ditulis oleh Ikhwan Fatanna tahun lalu, nama penyanyi Syuhada Amin, 24, seakan menyepi.
Syuhada atau nama sebenar Wan Syuhada Md Amin seakan hilang dari radar perkembangan kerjaya nyanyiannya secara tiba-tiba.
Apapun, ternyata minat mendalam Syuhada dalam nyanyian tidak pernah pudar dan kini dia mengatur langkah karier seninya bersendiri.
Menurut Syuhada, tiada istilah merajuk dan berasa terlalu kecewa dalam kamus hidupnya kerana bukan mudah ketengah bakat dan menempa nama.
“Saya akur perjalanan kerjaya nyanyian diceburi sejak kanak-kanak ini mungkin tidak selancar rakan penyanyi seusia yang lain.
“Untuk saya, soal rezeki adalah ketentuan Allah SWT. Apapun, saya akan terus berusaha mengikut kemampuan diri dan yakin akan berjaya.
“Bila kejayaan diharapkan itu akan dimiliki, saya serah pada Allah. Sekurang-kurangnya. saya tidak berhenti berusaha serta terus mencuba,” katanya.
Menurut Syuhada lagi, yang pasti dia makin tenang mengemudi kerjaya sendiri. Katanya, belajar daripada pengalaman itu sangat besar dan bermakna.
Mengulas dirinya yang ‘bersih’ gosip dan cerita sensasi, Syuhada berkata itu juga menjadi antara sebab mengapa karier nyanyiannya dilihat bergerak perlahan.
“Saya tahu gosip atau cerita sensasi membantu seseorang penggiat seni untuk dikenali. Namun, untuk saya tak perlu rasanya cuba mencetuskan gosip.
“Apatah lagi, saya selesa dan tenang dengan kehidupan dijalani sekarang. Walaupun perjalanan karier penuh dengan liku, saya yakin dapat menempuhnya dengan sabar,” katanya.
Sebelum ini, Syuhada pernah bernaung sebagai penyanyi rakaman di bawah SRC dan sudah menghasilkan kira-kira empat lagu solo.
Bagaimanapun, sinar kerjaya nyanyian Syuhada tidak begitu menyerlah dan dia dilihat terumbang-umbing dalam perjuangan bakatnya.
Namun, nama Syuhada pernah melonjak pada 2016 menerusi lagu solo keduanya berjudul Bukan Dia hasil ciptaan anggota kumpulan Lawa Nie Geng.
Menerusi lagu bergenre pop reggae itu, Syuhada juga mengaku dia mampu menarik nafas lega kerana video muzik rasmi Bukan Dia yang dimuat naik ke YouTube berjaya meraih jutaan tontonan.
Pada 2008, Syuhada dinobatkan juara Idola Kecil musim pertama terbitan TV9. Bahkan, penyanyi popular Haqiem Rusli juga pernah menyertainya.
Berkongsi aktivitinya sepanjang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah kerana penularan wabak Covid-19, Syuhada berkata dia bahagia bersama keluarga.
Ujarnya, hubungan rapat dengan keluarga terutama ibu bapa membuatkan dia tidak berasa sangat bosan meskipun kini perlu berkurung di rumah.