SETIAP atlet bercita-cita beraksi di pentas tertinggi iaitu temasya Olimpik dan pastinya ia tidak terkecuali buat gimnas negara, Tan Ing Yueh.
Penangguhan Olimpik untuk tempoh setahun lagi memberi peluang buat Ing Yueh memantapkan skil selain memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Berlatih di bawah bimbingan Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai, barisan atlet gimnastik negara tetap meneruskan latihan biarpun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Ing Yueh, dia bersama atlet lain menggunakan aplikasi zoom bersama jurulatih untuk membuat latihan setiap hari membabitkan semua atlet kebangsaan.
“Ketika ini, kami semua menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing dan menggunakan aplikasi zoom untuk sesi bersama jurulatih.
“Antara yang ditekankan adalah latihan kecergasan, regangan dan juga kardio. Jurulatih akan memberi tugasan ketika sesi zoom dilakukan bagi memudahkan latihan saya bersama rakan pasukan yang lain.
“Setiap kali sesi zoom ia akan membabitkan kira-kira 10 atlet termasuk jurulatih,” katanya yang meraih perak dalam acara senaman lantai di Kejohanan Piala Cabaran Dunia (WCC) 2019 di Zhaoqing, China.
Mengulas mengenai peluang ke Olimpik, Ing Yueh berkata, hingga setakat ini belum ada sebarang maklumat berhubung kejohanan kelayakan berikutan semua acara sukan ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19.
Kejuaraan Asia Senior yang sepatutnya berlangsung di Tokyo, Jepun dari 2 hingga 5 Mei ini akan menjadi platform terakhir buat gimnas negara menempah tiket ke Olimpik 2020 dan hanya dua gimnas teratas pada acara all-round di pertandingan berkenaan akan menempah tempat ke sukan empat tahun sekali itu. Bagaimanapun ia kini ditangguhkan.