PELARI muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam usahanya untuk melayakkan diri beraksi buat kali pertama di pentas Sukan Sea tahun depan.

Justeru biarpun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Azeem tetap meneruskan latihan seperti biasa untuk mengekalkan tahap kecergasan.

Begitupun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh sedar akan cabaran yang akan diterima terutama daripada pelari senior yang jauh berpengalaman, itu tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus mencuba menjadi antara yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Jika tahun lepas, jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah menganggap masa masih belum sesuai buat pelari yang mendapat jolokan ‘Usain Bolt’ Malaysia itu, namun 2021 sudah tiba untuk Azeem membuktikan dia bukan pelari biasa.

Azeem berkata, dia bersedia menyahut cabaran berkenaan dan akan berusaha memberi yang terbaik untuk layak dalam acara kegemarannya iaitu 100 dan 200 meter (m).

“Saya rasa saya sudah bersedia untuk beraksi di pentas Sukan Sea.

“Jika Sukan Sea sebelum ini saya tidak dapat nak pergi sebab terlampau ramai senior yang layak jadi saya rasa tahun depan adalah masa yang paling sesuai,” katanya.

Ketika ramai atlet masih belum menyertai sebarang pertandingan tahun ini selepas banyak pertandingan dibatalkan ekoran wabak Covid-19, atlet berusia 16 tahun dari Perak itu berjaya merangkul dua emas di Kejohanan Perak All-Comers Februari lalu.

Emas berganda itu dirangkul dalam acara 100m dengan catatan 10.88s manakala 21.04s dalam acara 200m.

Biarpun catatan 10.88s itu jauh daripada masa terbaik peribadinya iaitu 10.57s yang dilakukan November lalu di Kejohanan Sekolah Sukan Bukit Jalil, namun ia dilihat satu permulaan yang baik buat atlet berkenaan tahun ini.

“Mujur saya sempat menyertai Perak All-Comers, sekurang-kurangnya saya dapat merasai menyertai kejohanan tahun ini selepas banyak pertandingan terpaksa dibatalkan sebab Covid-19,” katanya.