BINTANG tenis Greece, Stefanos Tsitsipas berkata perintah berkurung berikutan pandemik Covid-19 memberi peluang kepadanya mengasah penguasaan berbahasa Perancis.
Pemain berusia 21 tahun dan menduduki ranking keenam dunia itu kembali ke kampung halamannya ketika seluruh acara sukan di dunia ditangguhkan berikutan Covid-19.
“Ia adalah peluang terbaik untuk menetap lebih lama bersama keluarga dan melakukan perkara yang saya tidak sempat lakukan sebelum ini,” katanya ketika perbualan menerusi talian bersama Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis.
“Khususnya, ketika ini dalam rutin harian saya cuba mempelajari serba sedikit bahasa Perancis. Ia adalah sesuatu yang sangat saya mahukan tapi saya tidak mempunyai masa untuk melakukannya dan inilah peluangnya sekarang,” kata Tsitsipas.
Mitsotakis mengadakan perbincangan menerusi talian bersama beberapa atlet ternama Greece antaranya Tsitsipas untuk berterima kasih di atas sumbangan mereka dalam memberi galakan kepada orang ramai untuk melakukan senaman di rumah ketika berdepan situasi sukar ketika ini.
“Kita mempunyai peluang untuk menukar tingkah laku dan mengharungi ujian ini dengan lebih kuat.
“Orang ramai akan memahami kepentingan gaya hidup sihat dan akan sentiasa bersenam sekalipun berada di rumah dan mungkin berlari-lari anak atau perkara yang dibenarkan atas beberapa sebab,” kata Mitsotakis.
Perdana Menteri itu berkata jika April berjalan lancar dalam usaha memutuskan penularan wabak berkenaan, kehidupan mungkin kembali seperti normal pada Mei ini, yang menyaksikan peningkatan dalam program aktiviti sukan.
Pemain nombor 20 dunia juga dari Greece, Maria Sakkari berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Mitsotakis serta kerajaannya di atas keputusan positif dalam memerangi virus itu.
“Kami semua memahami ia bukannya mudah, ia adalah perkara yang cukup sukar, kami sangat bersyukur.
“Saya fikir saya bercakap bagi pihak semua orang, ia sesuatu yang mengagumkan dan berjaya anda capai,” kata Maria yang berusia 24 tahun.