NOVAK Djokovic berkata dia, Roger Federer dan Rafael Nadal akan mengaturkan bantuan untuk pemain yang bergelut berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Saya bercakap dengan Roger dan Rafa beberapa hari lalu,” kata pemain nombor satu dunia itu ketika berbalas komen di Instagram miliknya bersama rakan-rakan dan pesaingnya, Stan Wawrinka.
“Kami berbincang panjang berhubung masa depan tenis, apa akan berlaku, bagaimana kami boleh memberi sumbangan dan membantu terutamanya kepada pemain yang menduduki ranking rendah, yang sangat bergelut,” katanya.
“Majoriti pemain yang menduduki ranking antara 200, 250 di dunia dan 700 sehingga 1,000 tidak mendapat sokongan persekutuan dan tidak mempunyai penaja. Mereka bergerak sendiri.
“Mereka yang menduduki ranking 200-250 sehinggalah ke 700 sudah ada yang memikiran untuk meninggalkan sukan tenis,” katanya.
Jelas Djokovic, barisan pemain ATP dan Grand Slam akan bersama-sama menyumbang kepada dana bantuan pemain yang akan diuruskan oleh ATP.
“Kami berharap dapat meraih antara AS$3 juta (RM13 juta) dan AS$4.5 juta (RM19 juta) yang kemudian akan diagihkan bersama,” katanya.
Djokovic berkata, sumbangan itu boleh hadir menerusi wang kemenangan daripada Final World Tour dan bonus bagi pemain yang menduduki ranking tertinggi.