MAJLIS Sukan Negara (MSN) tiada akan mensia-siakan bakat yang dimiliki bekas ratu trek basikal negara, Fatehah Mustapa dan kini merancang menawarkan kursus kejurulatihan kepada atlet negara itu.

Pengarah Bahagian Atlet (MSN), Jefri Ngadirin berkata, mengikut perancangan awal, Fatehah akan didaftarkan untuk menjalani kursus kejurulatihan pada Jun depan dan selepas itu dia akan bersama-sama Sood Hussin mengendalikan pelumba pelapis.

Jerfi berkata, Sood akan membantu Fatehah mendalami ilmu kejurulatihan terlebih dahulu kerana atlet dan jurulatih adalah dua bidang berbeza.

FATEHAH
FATEHAH

“Memang ada dalam perancangan MSN untuk menawarkan Fatehah posisi jurulatih. Bagaimanapun. bukan senang untuk menukar kerjaya daripada pelumba kepada jurulatih.

“Dia perlu bermula daripada bawah semula dan Sood akan membantunya untuk memulakan tugas baru itu dan beri dia masa untuk belajar benda baru,” katanya.

Sementara itu, tiada isu membabitkan persaraan Fatehah yang pernah meraih dua emas di Kejohanan Asia dalam acara pecut dan keirin dan Jefri menjelaskan ia keputusan Olimpian itu yang merasa sudah sampai masanya untuk meninggalkan dunia atlet.

11 tahun berkelana di Melborune, Fatehah adalah pelumba pertama negara yang beraksi di pentas Olimpik London dalam acara keirin dan acara pecut di Olimpik Rio.

Aksinya turut mencuri tumpuan apabila meraih gangsa dalam acara pecut di Sukan Komanwel Glasgow selepas tewas kepada Jass Varnish.

Ketika ini tiada pelumba mampu menandingi kejayaan Fatehah yang pernah muncul juara Asia selepas meraih emas dalam acara pecut di New Delhi pada 2013 sehingga digelar ratu trek negara.