PRESIDEN Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), Tamas Ajan meletak jawatan susulan pendedahan dakwaan rasuah dan skandal doping yang didedahkan dalam sebuah dokumentari pada awal tahun ini.

“IWF berterima kasih kepada Tamas Ajan selepas empat dekad berkhidmat dengan sukan angkat berat,” kata pemangku presiden, Ursula Papandrea menerusi kenyataan dalam laman web awal pagi tadi.

“Kami kini boleh memulakan langkah baru dalam mencapai potensi penuh dan hala tuju dalam sukan ini,” kata Papandrea.

Kenyataan turut memberitahu penyiasatan bebas sedang berjalan bagi menyiasat dakwaan oleh stesen penyiaran Jerman ARD yang dikeluarkan pada Januari lalu.

Dokumentari itu mendakwa budaya korupsi makin menular dalam sukan yang dipertandingkan di Olimpik dengan beberapa atlet angkat berat terkenal terlepas ujian dadah dan sogokan berupa wang tunai diberikan kepada penguji doping bagi memanipulasi ujian urine.

Ajan, 81, dari Hungary yang berkhidmat bersama IWF sejak 1976 dan menjadi setiausaha agung selama 24 tahun dan 20 tahun menjadi presiden mendakwa dakwaan itu tidak berasas.

Program yang dihoskan wartawan ARD termasuk Hajo Seppelt yang mendedahkan skandal doping atlet Rusia mendakwa setengah daripada 450 juara dunia dan pemenang pingat Olimpik di antara 2008 dan 2017 tidak menjalani ujian doping manakala seorang doktor pasukan Moldova dirakam kamera rahsia yang menjelaskan cara sampel urine dimanipulasi.

Selain skandal doping, laporan dokumentari itu turut mendedahkan IWF memindahkan dana AS$5 juta (RM21 juta) yang diterima daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke dua akaun bank di Switzerland yang dikawal Ajan. – AFP