AKSI bola sepak dilihat tenang ketika ini berikutan pandemik Covid-19 namun situasi itu tidak berlaku antara Graeme Souness dan Paul Pogba yang mempunyai hubungan semakin tegang.

Hal itu berlaku mungkin kerana Souness yang juga bekas pengurus Liverpool, Blackburn dan Newcastle bukan peminat tegar pemain tengah Manchester United berusia 27 tahun itu.

Souness yang juga bekas pemain tengah Scotland, baru-baru ini menganggap Pogba sebagai ‘mementingkan diri sendiri’ dan menyatakan pemain antarabangsa Perancis itu berasakan dirinya ‘terlalu pandai’.

Malah ketika perintah berkurung dan Pogba sedang berdepan kecederaan, dia terus menerima kritikan.

Menerusi satu temubual bersama Sunday Times, penganalisis bola sepak itu berkata: “Pogba sememangnya mempunyai segala-galanya untuk menjadi pemain terbaik tetapi sikapnya di atas padang tidak begitu baik.

“Dia turun beraksi dengan matlamat mahu menunjukkan kepada semua pihak betapa bijaknya dia di atas padang dan mahu menjadi bintang bagi setiap perlawanan.”

Namun Pogba membalas kritikan itu apabila menyatakan dia tidak pernah mengenali Souness.

“Secara jujur saya tidak pernah mengenalinya. Saya difahamkan dia adalah pemain yang hebat. Saya mengenali raut mukanya tetapi tidak namanya.

“Saya bukanlah seseorang yang suka menyaksikan penganalisis bercakap di depan televisyen.

“Saya menyaksikan bola sepak tetapi tidak akan kekal menonton selepas tamat perlawanan untuk mendengar apa yang mereka perkatakan mengenai perlawanan itu. Saya hanya fokuskan kepada aksi bola sepak,” katanya.