KEPUTUSAN ratu trek basikal negara, Fatehah Mustapa bersara daripada arena itu sudah pasti mengejutkan peminat sukan tanah air, apatah lagi khidmat Olimpian negara itu masih diperlukan skuad kebangsaan dalam menghadapi Sukan Asia dan Komanwel 2022.
Hal ini turut diakui Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu, yang menyatakan negara sudah pasti kehilangan permata berharga terutama ketika prestasi pelumba wanita pertama negara yang beraksi di pentas Olimpik London dan Olimpik Rio itu masih berada di puncak dan mampu menjadi sandaran negara.
Namun beliau menyatakan keputusan yang diumumkan atlet kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu untuk bersara dalam sukan yang sudah sebati dalam jiwanya perlu dihormati semua pihak.
“Daripada segi keputusan yang Fatehah buat, kita mesti menghormatinya kerana sudah tentu dia memikirkan secara mendalam sebelum membuat keputusan yang begitu berat itu.
“Dalam satu aspek, keputusan yang dibuat pelumba berbakat besar negara itu ketika dia masih berada dalam puncak kerjayanya dan keadaan ini sudah tentu menjadi ‘happy ending’ kepadanya.
“Namun keputusan pelumba itu menggantung basikal sudah tentu merugikan kontinjen negara terutama prestasinya dalam Sukan SEA dan Sukan Asia masih lagi boleh dijadikan sandaran untuk meraih kejayaan.
“Bagi mencari atlet bertaraf dunia, negara harus berani membuat pelaburan ke atas atlet berbakat.
“Ia bagi membolehkan mereka berlatih di luar negara bersama jurulatih berwibawa kerana di sana sudah pasti atlet ada ‘sparring’ yang mantap dan peluang pendedahan pertandingan standard tinggi itu baharu kita dapat asah keupayaan mereka dengan lebih baik lagi.
“Terengganu juga tidak ketinggalan sentiasa berusaha untuk melahirkan atlet-atlet baharu yang berpotensi dan berdaya saing bagi menjadi pelapis serta mampu mewakili negara hingga ke tahap dunia,” ujar Ibni Amin.
Sepanjang 17 tahun bergelar pelumba negara, atlet berusia 31 tahun itu pernah meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Glasgow, muncul juara Asia selepas meraih pingat emas dalam acara pecut di New Delhi pada 2013 selain diberi pengiktirafan membawa jalur gemilang Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.